ATIQ aktif di media sosial untuk kekal relevan.
ATIQ aktif di media sosial untuk kekal relevan.
Syafil Syazwan Jefri


"DAH lama tak berlakon?". Itu antara soalan yang sering diajukan kepada Atiq Azman. Baik daripada media mahupun peminat. Hakikatnya, pelakon berusia 22 tahun ini masih 'laku'.

Masih kerap menerima tawaran dan sibuk menjalani penggambaran pelbagai karya, Atiq berkongsi aktiviti seninya yang semakin menunjukkan perkembangan positif.

"Setiap kali saya buat video secara langsung di Instagram, mesti akan ada yang bertanya, 'Dah lama tak berlakon?'. Soalan itu timbul kerana menurut mereka, saya jarang muncul di TV. Saya beritahu mereka, bukan saya dah tak berlakon, tapi drama lakonan saya belum ditayangkan.

"Saya banyak menjalani penggambaran, cumanya menunggu karya itu ditayangkan. Mungkin disebabkan itu, orang jarang nampak kemunculan saya di TV. Bagaimanapun, saya tak ada masalah setiap kali diajukan soalan itu," katanya.

Menurut Atiq atau nama sebenarnya Raja Mohammad Atiqullah Syah Raja Azman Syah, dia bagaimanapun tidak hanya bersandarkan rezeki daripada dunia lakonan semata-mata kerana menurutnya, rezeki Allah itu begitu luas.

"Tawaran kerja itu semua rezeki daripada Allah. Kalau ada, ada. Kalau tidak, saya akan teruskan kehidupan dengan mencari punca rezeki lain. Jangan mudah rasa tertekan sebab sebagai manusia, kita diberikan kudrat dan akal untuk mencari rezeki. Selagi boleh, usaha untuk bekerja," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah melalui fasa mencabar dalam kehidupan dan kariernya sebagai pelakon, tatkala negara terpaksa 'membeku' dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebelum ini, ketika PKP, saya memang tak dapat berlakon. Jadi, antara usaha saya adalah mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual sotong goreng gergasi. Selain itu, saya juga menjana pendapat menerusi video secara langsung di media sosial.

"Gunakan idea dan akal yang kita ada untuk mencari rezeki dan jangan mudah berputus asa. Sedangkan orang yang kurang upaya pun dapat bekerja mencari rezeki, takkan kita yang dianugerahkan Allah dengan pelbagai kelebihan lain, tak mahu berusaha," katanya.

Berkongsi pendapat mengenai industri seni lakon tanah air, Atiq juga tidak menafikan kehadiran bakat baharu sedikit sebanyak memberi saingan sihat buatnya.

SIAPA sangka Atiq impi watak aksi.
SIAPA sangka Atiq impi watak aksi.

"Pelakon baharu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Jadi, untuk pastikan kekal relevan, saya pastikan aktif di media sosial dan hasilkan pelbagai kandungan contohnya, video lucu . Biar orang nampak saya yang masih aktif.

"Dunia lakonan ini ada naik dan turunnya. Kadangkala, ada tawaran kerja dan kadangkala tak ada. Jadi, saya gunakan platform yang saya ada," katanya.

Menjadikan Jackie Chan sebagai rujukan dan contoh terbaik dalam dunia lakonan, siapa sangka pelakon berwajah 'jambu' ini juga mengimpikan watak aksi dan pertarungan.

"Kalau tanya saya, saya nak cuba watak aksi sebab sepanjang saya berkarya sebagai pelakon, watak yang sering ditawarkan kepada saya adalah romantik dan sebagai remaja atau pelajar sekolah.

"Kalau ada rezeki, saya sangat impikan watak yang membabitkan babak pertarungan dan sebagainya. Mungkin juga watak yang lebih berat yang bermain dengan emosi," katanya.

Menurutnya, mungkin kerana wajah keanak-anakan membuatkannya kurang mendapat perhatian untuk ditawarkan watak aksi.

"Mungkin kerana wajah saya yang dikatakan 'jambu' dan nampak remaja, watak yang ditawarkan kepada saya juga agak terhad.

"Mungkin juga sebab orang belum nampak lagi kemampuan saya dalam lakonan. Tapi, alhamdulillah, perlahan-lahan, saya kini sudah mula ditawarkan watak yang lebih dewasa.

"Mungkin selepas ini saya akan banyak berkongsi video melakukan aksi pertarungan di media sosial untuk membuka mata penerbit atau pengarah. Jadi, manalah tahu, dari situ, ada rezeki untuk saya ditawarkan watak aksi," katanya.

Selain itu, Atiq juga kini menunjukkan minat mendalam dalam dunia suntingan video secara kreatif.

"Selain lakonan, saya banyak mengisi masa dengan mendalami ilmu suntingan video di media sosial. Ini adalah hobi suka-suka yang saya rasa, kalau kena caranya, boleh menjana pendapatan.

"Saya banyak merujuk video suntingan dari luar negara yang memang suntingan mereka, luar biasa. Daripada segi transisi, warna, semuanya menarik perhatian saya dan memang saya benar-benar bersemangat untuk belajar," katanya.

Terbaharu, drama lakonannya, Lecturer Ku Oppa dan Bunga Aku Tunggu akan ditayangkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 6:20 AM