KEADAAN kereta berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Langat: Empat maut selepas kereta dinaiki mereka terjatuh dan terbabas ke bawah laluan bertingkat (flyover) lebuh raya lalu terbakar di Jalan Teratai, Batu 10, Kampung Kebun Bharu, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 1.11 pagi.

"Sepasukan sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta Mercedes yang terjatuh dan terbabas ke bawah laluan bertingkat (flyover) lebuh raya.

"Selepas selesai pemadaman, didapati empat mangsa yang tidak dikenal pasti identiti dan jantina di dalam kereta itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kereta terbabit terbakar 100 peratus.

"Kami berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita lanjut menyusul

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:55 AM