Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di KM 11, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam menghala ke Taman Perling di Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di KM 11, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam menghala ke Taman Perling di Johor Bahru, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas kenderaannya itu terbabas dekat susur Kilometer 11, Jalan Johor Bahru - Ayer Hitam di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kemalangan 6.30 pagi itu, pemandu Toyota Estima yang hanya dikenali sebagai Ten Ki, 41, maut di tempat kejadian yang menghala ke Taman Perling.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV itu hilang kawalan dan terbabas.

“Kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan kemudiannya melanggar tiang laluan bertingkat (flyover),” katanya.

Beliau berkata, pemandu lelaki yang beralamat di Jalan Sutera Pulai, Taman Sutera Utama, Johor Bahru, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) Kulai untuk bedah siasat.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Mohd Kamil Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.34 pagi sebelum sebuah jentera dan van EMRS dengan 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita tiba di lokasi pada 6.43 pagi dan ketika itu didapati seorang mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir ke lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, operasi terkawal pada 6.55 pagi dan operasi ditamatkan pada 7.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 9:35 AM