Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh di Jalan Telawi 3, Bangsar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya melakukan serbuan di Jalan 11 Selayang Baru, Batu Caves jam 3.30 petang semalam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas sebuah telefon pintar.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan kes dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, berdasarkan keterangan, polis diberikan maklumat lokasi suspek lain yang masih bebas.

"Namun, pemeriksaan dilakukan di rumah mendapati suspek yang masih bebas sudah melarikan diri.

"Tindakan lanjut bagi mengesan suspek berkenaan sedang giat dijalankan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dendam lama dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan individu di Jalan Telawi 3, Bangsar, di sini, yang meragut nyawa seorang lelaki awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu turut menyebabkan seorang lagi lelaki cedera parah.

Berita berkaitan

Maut akibat ditoreh pisau, ditikam dengan botol arak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 11:33 AM