PERGADUHAN di Jalan Telawi 3, Bangsar, Kuala Lumpur menyebabkan seorang maut akibat ditikam. FOTO Ihsan Pembaca.
PERGADUHAN di Jalan Telawi 3, Bangsar, Kuala Lumpur menyebabkan seorang maut akibat ditikam. FOTO Ihsan Pembaca.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pegawai polis yang dirakam dalam video di lokasi kes bunuh di Jalan Telawi, Bangsar, di sini, tengah malam kelmarin tidak bertugas ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata, pegawai polis berusia 27 tahun itu dari cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Menurutnya, hasil temubual awal mendapati pegawai terbabit adalah orang yang dimaksudkan dalam video itu.

"Dia ke Bangsar bersama rakan dari rumahnya di Subang Jaya untuk makan malam

"Ketika kejadian, pegawai terbabit bersama rakannya dalam perjalanan untuk mengambil kereta yang diletakkan berhampiran kawasan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, video itu dirakam rakannya berusia 27 tahun yang bekerja sebagai editor filem komersil.

"Ketika itu pegawai terbabit tidak membawa sebarang senjata api bersamanya kerana dia tidak bekerja dan dalam kelepasan tugas.

"Ketika dia ingin melaporkan kejadian itu, dapati kenderaan polis sudah tiba di tempat kejadian sebelum dia pulang ke rumah," katanya.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, mangsa seorang lelaki berusia 28 tahun mati selepas ditoreh dengan pisau dan ditikam dengan botol minuman keras ketika bergaduh dengan sekumpulan lelaki dipercayai bermotifkan dendam lama.

Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun yang juga rakan mangsa, dilaporkan parah dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita berkaitan

Suspek kes bunuh di Jalan Telawi ditahan

Maut akibat ditoreh pisau, ditikam dengan botol arak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 7:56 PM