PENGURUP wang, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
PENGURUP wang, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pengurup wang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar di sini, tiga tahun lalu.

Syed Kamal Syed Mohamad, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh kerana kes bunuh adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama dengan tiga yang telah dituduh dan satu lagi yang masih bebas didakwa membunuh M Sanjeet Kumar, 28, di lorong belakang Affin Bank, Jalan Telawi 3, Bangsar pada 1 pagi, 13 Mac 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 13 April tahun lalu, tiga penganggur iaitu G Naresh, 27, K Pravin, 28, dan S Letchumanan, 30, telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Sanjeet Kumar.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki lain di Jalan Telawi, Bangsar, dipercayai akibat dendam.

Sanjeet Kumar mati ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala rakannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 3:05 PM