Pemain bola sepak remaja, Allee Putra Azril. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Pemain bola sepak remaja, Allee Putra Azril. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syazwan Msar


DEMI kerana minat anak lelaki kesayangan apa sahaja sanggup dilakukan oleh seorang ayah walaupun terpaksa merayu untuk meminta bantuan dana.

Itu antara usaha yang dilakukan Azril Mohd Zawawi, 43 bapa kepada Allee Putra, 15, yang ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Melihat kepada prestasi anak lelakinya itu yang boleh pergi jauh, Azril mengambil keputusan untuk mencari dana bagi membolehkan Allee merealisasikan impian sejak kecil untuk bermain bola sepak di luar negara.

Beliau berkata, Allee memerlukan dana sekurang-kurangnya RM70,000 merangkumi kos penerbangan, tempat tinggal dan lain-lain perbelanjaan sepanjang tempoh Allee berada di akademi berkenaan.

"Pada peringkat awal, penuntut akademi berkenaan perlu mengeluarkan belanja sendiri sebelum mereka ditawarkan biasiswa apabila sudah mencapai tahap yang ditetapkan.

"Oleh itu, saya mengambil inisiatif berbincang dan meminta bantuan daripada beberapa pihak termasuk Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan perkara itu.

"Saya mengharapkan bantuan yang dapat dihulurkan itu meringankan beban kami untuk menampung kos sepanjang Allee berada di akademi berkenaan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Arena Metro melaporkan Allee Putra ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Remaja itu menggemparkan dunia bola sepak negara selepas ditawar kontrak menjalani latihan di akademi elit itu selama dua tahun walaupun dia bukan pemain yang dikenali di Malaysia.

Selain itu, Azril berkata, mesyuarat lanjut akan diadakan bersama dia dan FAM pada 24 Jun ini sebelum dijangka berlepas ke Almunerca, Sepanyol pada hujung Ogos ini bergantung pada kebenaran kerajaan membenarkan penerbangan ke luar negara selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat Covid-19.

"Saya berterima kasih kepada Timbalan Presiden Kafa, Datuk Seri Affandi Hamzah yang banyak membantu dengan membuka jalan dengan FAM seterusnya memastikan Allee dapat merealisasikan impian ke akademi luar negara. "Namun, ramai yang tidak tahu bahawa individu yang bertanggungjawab membawa Allee ke tahap sekarang ini adalah jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail dan Fadzly Saari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 11:00 PM