Omar Raiyan Kama Azlan
Omar Raiyan Kama Azlan
Firdaus Hashim


"Saya mahu main di EPL (Liga Perdana Inggeris) atau di mana-mana liga (di Eropah).

Itu semangat ditunjukkan oleh seorang lagi pemain remaja negara, Omar Raiyan Kama Azlan yang kini bersama kelab Serbia, Red Star Belgrade.

Omar, 15, yang beraksi di posisi tengah dan pernah bersama akademi Manchester City di Abu Dhabi dilaporkan berjaya memikat perhatian kelab Red Star Belgrade selepas menjalani pemilihan selama dua minggu pada Julai tahun lalu.

Katanya, dia bercita-cita untuk beraksi di liga utama Eropah dan berhasrat untuk meletakkan nama Malaysia dalam peta bola sepak dunia.

"Saya gembira untuk terus kekal di sini. Seperti impian pemain lain, saya mahu beraksi di EPL dan mendapat peluang bermain di Liga Juara-Juara serta mewakili Malaysia.

"Saya mahu membanggakan Malaysia dengan menjadi pemain pertama dari Malaysia beraksi di EPL atau di mana-mana liga. Saya mahukan gelaran itu dan membuat Malaysia bangga.

"Sudah tentu saya mahu melakukannya (peluang beraksi bersama skuad kebangsaan)," katanya menerusi temubual bersama sebuah portal bola sepak tempatan.

Omar kini adalah antara dua pemain muda negara yang mula mengetuk pintu kelab-kelab Eropah selepas penyerang sensasi bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin ditawarkan kontrak oleh pasukan utama Belgium, KV Kortrijk dan kelab EPL, Newcastle United.

Selain, seorang lagi pemain remaja negara, Allee Putra Azril sah sudah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 11:00 PM