Allee Putra Azril
Allee Putra Azril
Nor Amalina Alias


PENGORBANAN bertahun-tahun berlatih di sawah padi, bersama kambing dan biri-biri, malah sanggup berulang alik sejauh 20 kilometer semata-mata untuk menumpang padang latihan nyata berbaloi buat Allee Putra Azril, 15, apabila ditawar bermain di akademi bola sepak terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Remaja itu menggemparkan dunia bola sepak negara selepas ditawar kontrak menjalani latihan di akademi elit itu selama dua tahun walaupun dia bukan pemain yang dikenali di Malaysia.

Allee berkata, dia bermain bola sepak sejak usia tiga tahun tanpa henti sehingga kini dan tawaran ke Malaga City adalah peluang keemasan yang dinantikan selama ini.

Katanya, setiap hari dia akan berlatih selama dua jam di waktu pagi dan petang bagi latihan kecergasan seperti membuat larian dan menumpang bermain bola bersama pasukan Melawi FC, Bachok FC dan Rekang FC bawah 23.

Allee mendapat bimbingan jurulatih. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Allee mendapat bimbingan jurulatih. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Saya juga membuat latihan bersama kambing dan biri-biri yang diternak bapa bagi mengekalkan stamina selain menumpang padang bola di beberapa kawasan kerana tiada tempat untuk bermain.

"Akhirnya saya dapat belajar bola sepak secara formal apabila ditawarkan belajar di akademi itu dengan ditanggung sepanjang pengajian," katanya ketika ditemui Arena Metro di Kampung Melawi, Kota Bharu.

Harian Metro melaporkan, Malaga City mengumumkan mengikat Allee menerusi laman Twitternya semalam dengan kos latihan, penginapan dan makanan pemain itu berjumlah €15,750 (RM75,489) semusim ditanggung kelab itu.

Bercerita lanjut, Allee berkata, dia sentiasa menyimpan hasrat untuk belajar di akademi bola sepak luar negara dan pernah lulus tawaran akademi bola sepak di United Kingdom iaitu Footie Bugs Academy Football dan South Hampthon Academy Football, namun terpaksa menolak kerana kos terlalu tinggi.

Katanya, sebelum itu dia juga pernah berdepan cabaran lain antaranya pernah ditolak di beberapa pasukan bola sepak negeri bawah 19 dan 21 kerana usianya terlalu muda iaitu ketika itu berusia 14 tahun.

Namun dia tidak berputus asa, sebaliknya tetap meneruskan minat dalam bola sepak dengan bermain di peringkat kampung dan daerah di Kelantan.

Katanya, dia bermula dengan Perlis FA B-19 pada tahun 2018 selama empat bulan di bawah jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail dan Fadzly Saari.

Menurutnya, sejak itu dia semakin bersemangat meneruskan impian bergelar bintang bola sepak, namun sekali lagi diuji apabila kelab itu dibatalkan dalam Liga Malaysia kerana krisis kewangan.

"Selepas itu, saya pergi ke pemilihan bawah 21 dan 19 Pahang, Kelantan The Red Warriors, Kelantan United dan Kuala Lumpur FA, dan sampai ke pemilihan akhir, saya dikesan tidak memenuhi kriteria kerana berumur 14 tahun," katanya.

Menurut Allee, sehingga kini dia hanya bermain di liga jajahan Bachok dan Ketereh sebelum secara tiba-tiba mendapat tawaran di akademi itu melalui hantaran e-mel pada 4 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 11:01 PM