ALLEE Putra juga ditawarkan dua tahun pengajian. FOTO Ihsan Allee Putra Azril Mohd Zawawi
ALLEE Putra juga ditawarkan dua tahun pengajian. FOTO Ihsan Allee Putra Azril Mohd Zawawi
Syazwan Msar


PELUANG untuk bergelar pemain profesional di luar negara semakin cerah apabila bakat muda yang ditawarkan bermain di akademik bola sepak terkemuka Sepanyol FC Malaga City Allee Putra Azril Mohd Zawawi 15 sudah melepasi satu halangan dengan memperoleh bantuan dana untuk ke negara terbabit Jumaat ini.

Jelas sekali, pemain muda negara ketika ini sudah mula melebarkan 'sayap' masing-masing eropah apabila sebelum ini penyerang skuad Bawah 19 (B-19) Luqman Hakim Shamsudin mengikat kontrak bersama kelab Belgium, KV Kortrijk sekali gus jejaknya diikuti 'ubi muda' lain.

Namun, sudah pastinya tugas Allee bukanlah mudah apabila dia perlu membuktikan keupayaan dan kemampuan diri apabila menuntut ilmu bersama akademik itu.

"Pencapaian Luqman yang menyertai KV Kortrijk menjadi inspirasi kepada saya untuk mengejar impian beraksi di liga utama Eropah.

"Tawaran ke Sepanyol ini akan menjadi peluang keemasan buat saya untuk mengasah bakat dan harapan saya suatu hari nanti dapat mewakili Malaysia dan kelab di Eropah," katanya.

Sementara itu, firma arkitek terkemuka R2 Architect Sdn Bhd boleh dikatakan menjadi antara 'penyelamat' kepada pemain muda berkenaan apabila bersedia membiayai kos pengajian Allee Putra.

Pengarah R2 Architect Sdn Bhd, Ruslan Razak berkata pembiayaan kepada Allee Putra adalah khidmat sosial korporat firma arkitek terkemuka itu dalam menyokong pembangunan sukan khususnya bola sepak.

"Bakat yang ada pada Allee Putra adalah sebab utama kami membiayai dari segi visa, yuran pengajian bahasa, penginapan, tiket penerbangan dan lain-lain keperluan.

"Malaga City FC menawarkan Allee Putra dua tahun pengajian yang mana dia ditawarkan tempat ke sana dan bukan memohon masuk akademi. Dia juga mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Allee Putra memerlukan sekurang-kurangnya RM70,000 Beliau merangkumi kos penerbangan, tempat tinggal dan lain-lain perbelanjaan sepanjang tempoh berada di akademi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 9:16 PM