CAMPERVAN gaya vintaj.
CAMPERVAN gaya vintaj.
Lizam Ridzuan


TREND menjadikan kenderaan van mikro lama menjadi unit campervan kini semakin digemari sebagai gaya hidup unik dan berbeza.

Sesuai buat yang menggemari aktiviti seperti berkelah, berkhemah dalam suasana tersendiri ia juga dilengkapi ciri-ciri praktikal sesuai untuk perjalanan seisi keluarga.

Vroom minggu ini meninjau van model Daihatsu Hijet S89 keluaran 1995 milik Mohd Fazli Taib@Hassan,39, yang diserlahkan dengan konsep gaya vintaj.

Menurutnya van itu dibeli dengan harga RM6,500 pada penghujung 2019 dan memulakan kerja baik pulih selama setahun selepas itu.

Perkara pertama yang dilakukan ialah menukar warna baharu dua tona oren dan putih pada bumbung.

Tayar juga digantikan dengan baharu termasuk penutup rim krom 'Moon caps' menyerlahkan seri gaya vintaj itu.

"Saya juga melakukan servis pada enjin, tali sawat pemasaan, sistem brek, radiator dan pendingin hawa yang semuanya ditukar baharu,"

"Ini kerana ketika membelinya, keadaan van ini agak uzur pada beberapa bahagian selain tidak tahu sejarah servis maka perkara asas itu digantikan terlebih dahulu," katanya yang bertugas sebagai akauntan.

Kerja ruang dalaman pula kemudian ditumpukan oleh Fazli berpandukan sumber dalam talian selain kajian dan mencubanya sendiri berbekalkan pengalaman serta pengetahuan yang ada terutama pada bahagian kerusi belakang dilakukan sendiri (DIY) bagi simpanan barangan dan peralatan seperti kerusi, meja, khemah, katil serta peralatan memasak.

DIPASANG tangga dan sengkuap sisi.
DIPASANG tangga dan sengkuap sisi.

"Bahagian ini penting dan menjadi asas sebagai fungsi campervan yang memudahkan aktiviti berkhemah tanpa perlu membawa alatan yang banyak selain pada masa sama lebih senang dikeluarkan serta tersusun kemas.

SESUAI untuk berkhemah dan santai.
SESUAI untuk berkhemah dan santai.

"Saya juga memasang rak bumbung, tangga, sistem solar dengan 100 watt dengan 'deep cycle battery' dan sengkuap (awning) sisi bagi keselesaan tambahan untuk membawa barangan serta ketika bersantai di lokasi rekreasi atau di tepi pantai," katanya.

Namun, cabaran utamanya dalam menyiapkan van lama ini ialah tidak banyak bengkel kenderaan yang mahu menerima untuk dibaiki.

Jika ada pula mereka tidak begitu mahir dan hanya sekadar membaiki perkara asas malah menyebabkan permasalahan pada beberapa bahagian teknikal akan kembali semula.

RUANG belakang diubah suai termasuk ruang simpanan.
RUANG belakang diubah suai termasuk ruang simpanan.

"Kos dan masa juga semakin meningkat dan demi minat menjadikan van itu kelihatan seperti ini terlalu banyak usaha dan komitmen yang diberikan.

"Tapi, akhirnya ia memberi kepuasan sendiri apabila sudah boleh mula digunakan yang menjadikan aktiviti bersama keluarga tambah menarik," jelasnya.

Berkenaan kos keseluruhan Fazli menganggarkan perbelanjaan sekitar RM10,000 dikeluarkan untuk restorasi Daihatsu Hijet S89 ini.

Buat masa ini Fazli merancang menambah beberapa bahagian kabinet dalaman dan selebihnya bergantung kepada keperluan semasa.

FAZLI belanja sekitar RM10,000 untuk restorasi Daihatsu Hijet S89 menjadi campervan.
FAZLI belanja sekitar RM10,000 untuk restorasi Daihatsu Hijet S89 menjadi campervan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 6:35 AM