Saipul Adli Mohamad; Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik


SERAMAI 99 pesakit dibenarkan keluar wad dan pulih daripada Covid-19 seperti dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan secara keseluruhan 3,762 dibenarkan discaj setakat ini iaitu 65.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Beliau berkata, pada masa sama sebanyak 51 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Ini menjadikan kes positif terkumpul sebanyak 5,742 di seluruh negara dengan 1,882 kes aktif dengan kebolehjangkitan yang kini diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

"Daripada jumlah itu, seramai 36 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 16 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.


Beliau berkata, dua kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 98 kes bersamaan 1.7 peratus daripada keseluruhan kes.

Menurutnya, kes kematian ke-97 (kes ke-2,354) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Katanya, beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3.53 pagi 25 April 2020.

"Kes kematian ke-98 (kes ke-2,806) adalah perempuan warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

"Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-1346 (yang merupakan anak beliau).

"Beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 5.43 petang 24 April 2020," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 4:18 PM