KAWASAN Red Light di Amsterdam yang ditutup seiring perintah kerajaan Belanda. FOTO AFP
KAWASAN Red Light di Amsterdam yang ditutup seiring perintah kerajaan Belanda. FOTO AFP
Agensi

AMSTERDAM: Penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) turut memberi kesan kepada aktiviti pelacuran di Belanda.

Ia apabila kerajaan mengarahkan penutupan kelab seks di Red Light iaitu kawasan pelacuran di Amsterdam.

Sekali gus, ia menjejaskan individu yang terbabit dalam industri yang dibenarkan di bawah undang-undang negara berkenaan.

Susulan itu, seorang pekerja Belanda menubuhkan tabung bagi mengumpul bantuan kepada pekerja seks terjejas.

Tabung itu ditubuhkan Hella Dee, seorang daripada anggota kesatuan Belanda.

Beliau berkata, projek itu meraih dana 4,400 Euro (RM21,136). Bagaimanapun, pihaknya memerlukan lebih lagi wang.

“Pekerja seks tidak mempunyai pendapatan tetap, mereka tidak menerima cuti sakit berbayar dan kurang simpanan untuk menampung keperluan asas seperti membeli-belah atau ubatan serta makanan.

“Ini juga mempunyai kesan terhadap keselamatan mereka kerana mereka mungkin terpaksa berdepan lebih banyak risiko dalam keadaan sekarang,” tulis Dee di laman web kempen itu.

Dianggarkan, ada 25,000 pekerja seks wanita terutama di Amsterdam.

Bagaimanapun, jumlah itu mungkin lebih tinggi dengan banyak yang beroperasi secara rahsia.

Kempen itu sejajar penutupan kelab dan rumah pelacuran sehingga sekurang-kurangnya 6 April depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 7:00 AM