FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

PERNAH dahulu penulis sesat punca. Berpusing-pusing hingga sampai ke destinasi hiburan 'menggegarkan' digelar Red Light District terletak di Amsterdam, Belanda.

Penulis terkejut gila apabila melihat ramai pelacur minah salih Eropah bebas menawarkan khidmat dalam kamar diterangi lampu merah malap.

Di negara berkenaan, aktiviti itu dihalalkan sejak tahun 2000 bertujuan menarik kehadiran pelancong, malah penulis mendapat tahu pekerja terbabit turut dilindungi undang-undang khusus.

Walaupun ia dianggap kontroversi namun pelancong nakal mungkin akan mengambil kesempatan 'cuci mata' apabila menjejak kaki ke Amsterdam.

Terdapat tiga kawasan Red Light District terkenal di Amsterdam iaitu di Singelbied, Ruysdaelkade dan De Wallen.

Biasanya lokasi ini beroperasi pada lewat petang hingga awal pagi setiap hari.

Lokasi 'mencolok mata' ini mudah dikesan penulis ketika berjalan menuju Dam Square atau stesen Subway berdekatan.

Dari balik cermin tingkap atau tirai bangunan, kumpulan pelacur tinggi lampai ini akan melambai tangan.

Hadiahkan senyuman paling manis diberikan kepada setiap lelaki yang melintasi mereka. Tiada langsung rasa malu alah.

Namun, jangan berhenti atau merenung terlalu lama kerana ia disifatkan tidak sopan.

Malah, mengambil gambar kenang-kenangan juga dianggap satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan.

Biasanya pelanggan yang berminat akan berbual dan bertanyakan harga dalam euro (EUR) sebelum berbincang untuk proses seterusnya.

Selain Thailand yang terkenal dengan 'aksi tarian tiang' dan 'gadis akuarium', Belanda jelas tidak kalah dengan sajian sex theatres, muzium seks dan pelbagai bentuk maksiat lain.

Bagaimanapun, bukan niat penulis untuk mempromosikan lokasi maksiat di negara kincir angin itu.

Semua ini tidak elok dan tidak dibenarkan dalam Islam.

Apa yang penulis mahu kongsikan hanya keadaan aktiviti maksiat di Belanda dan di tanah air kita.

Landskap hampir sama, lokasi maksiat Red Light District turut wujud di negara kita sejak zaman 'televisyen hitam putih' mula diperkenalkan.

Bagi mereka yang nakal, sarang maksiat di Bukit Bintang, Lorong Haji Taib di Chow Kit, Jalan Thambipillay di Brickfieds, Jalan Petaling berhampiran gerbang masuk China Town dan Jalan Pudu bukan asing.

Rata-rata kamar maksiat di situ turut dipasang lampu merah oleh bapa ayam selaku 'pengurus acara' maksiat.

Cuma bezanya lokasi pelacuran cukup tidak selesa dengan baunya selain dipenuhi pelacur warga asing. Majoritinya wajah wanita Indonesia, Thailand, Myanmar, Nepal dan India.

Bayaran sewa tubuh serendah RM30 untuk tempoh lima minit, itupun masih boleh tawar-menawar jika berkenan.

Mujur kebanyakan sarang maksiat di Chow Kit dan Brickfields pupus susulan tindakan pemutihan dilakukan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa tahun lalu.

Namun, ia bukan penamat apabila kegiatan jaja tubuh ini melarat hingga kawasan medan selera, pusat spa, kedai urutan refleksologi, pusat karaoke VIP dan kelab hiburan mewah.

Ini belum mengambil kira khidmat seks ditawarkan melalui aplikasi WeChat dan media sosial.

Ditambah kewujudan pelacur nomad yang berpindah-randah dari negeri ke negeri.

Meriah bukan aktiviti maksiat di Malaysia?

Jika semua ini diambil kira, jelas aktiviti maksiat di Malaysia tidak kurang hebat berbanding negara jiran mahupun Amsterdam.

Cuma bezanya ia tidak dilakukan secara sorok-sorok.

Hakikatnya, kemunculan pandemik Covid-19 membawa rahmat tersembunyi apabila pusat maksiat ini yang dahulunya meriah bertukar sepi mati. Syukur Alhamdulillah.

Tiada lagi aktiviti Red Light District di Jalan Petaling atau 'ayam liar' berkeliaran di sekitar Jalan P Ramlee atau Bukit Bintang.

Kelibat 'bapa ayam' yang duduk di kaki lima Jalan Petaling atau Jalan Pasar Baharu turut hilang entah ke mana.

Malah, deretan rumah kedai sekitar Jalan Petaling yang dahulunya tapak Red Light District Kuala Lumpur giat diubah suai menjadi puluhan kafe hipster.

Langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu secara tidak langsung berjaya 'membunuh' seketika industri pelacuran di Malaysia apabila kebanyakan premis hiburan diarah tutup.

Penulis bersyukur walaupun bukan 100 peratus operasi maksiat ini 'dicuci' namun pandemik Covid-19 sedikit sebanyak membawa perubahan positif dari aspek lain.

Ibu kota kini bersih daripada 'ayam liar' dan 'kupu-kupu dinihari' selain kehadiran kumpulan 'wanita jadian' yang menambahkan lagi cela.

Sehingga saat ini pusat spa, refleksologi dan pusat urutan dikuasai wanita warga asing masih diharamkan beroperasi.

Tiada juga bingit muzik dari pusat hiburan di Jalan P Ramlee, Jalan Doraisamy dan Jalan Changkat, Bukit Bintang berikutan disko dan pusat hiburan masih dilarang beroperasi.

Lelaki yang berhajat culas, baik lupakan saja niat, mungkin ini masa terbaik kembali mencari sejadah atau berubah.

Cuma dibimbangi penulis jika keadaan ini hanya bersifat sementara.

Sekadar wayang atau drama sebabak! Apabila wabak virus Covid-19 pulih kelak. Berjoget semula 55 sindiket pelacuran yang nazak ketika ini.

Penulis berharap iltizam dilafazkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (PSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mahu melancarkan perang fasa kedua terhadap sindiket pelacuran di Malaysia sebelum Covid-19 muncul diteruskan.

Jangan berhenti! Lebih utama, rakyat kini mahu melihat hasilnya. Bukan lagi retorik atau ada yang menganggap sekadar 'wayang'.

Buktikan pelacuran di Malaysia boleh dihapuskan ke tahap minimum. Ini masa terbaik mengganyang sepenuhnya aktiviti perosak moral masyarakat.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 7:01 AM