GEORGINIO WIJNALDUM
GEORGINIO WIJNALDUM
Agensi

LONDON: Pemain tengah Belanda, Georginio Wijnaldum tidak berminat untuk membandingkan pasukannya dengan pasukan lain selepas Oranje meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Jerman dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi tadi.

Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dan Memphis Depay serta Wijnaldum mencetak nama selaku penjaring ketika skuad kendalian Ronald Koeman meraih kemenangan selesa di Amsterdam.

Ia adalah kemenangan pertama Belanda ke atas Jerman dengan keputusan tiga gol atau lebih yang menyaksikan prestasi hambar pelawat berterusan selepas kempen Piala Dunia Russia.

Ketika ditanya mengenai prestasi di antara Belanda dengan pasukan seperti Jerman dan Perancis, Wijnaldum enggan membandingkan pasukannya yang gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

“Saya tidak tahu di mana kami berada. Kami tidak sepatutnya melihat kepada pasukan lain,” kata Wijnaldum yang turut beraksi bersama Liverpool.

“Kami fokus terhadap perlawanan kami yang seterusnya. Selepas itu, kami boleh bercakap di mana kami berada. Kami perlu memberikan segala-galanya untuk memastikan kami cuba melakukan yang terbaik.

“Tidak mudah untuk berkata, ‘Oh, kami berada di tahap ini’,” kata Wijnaldum yang turut memuji pemain muda seperti Steven Bergwijn, Denzel Dumfries dan Arnaut Groeneveld yang membuat penampilan sulung bersama Belanda.

“Disebabkan oleh beberapa kecederaan, kami perlu menyenaraikan pemain muda yang membuat penampilan sulung. Mereka mengharungi perlawanan yang amat baik,” katanya.

“Ketiga-tiganya menonjolkan keberanian, dan mereka mampu berada di tahap pasukan Belanda. Kerana mereka kami mampu memperoleh keputusan sebaik ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 1:15 PM