SATOKO Kishimoto. FOTO Twitter Satoko Kishimoto
SATOKO Kishimoto. FOTO Twitter Satoko Kishimoto
Agensi

Tokyo: Seorang wanita berusia 47 tahun yang tinggal di Belgium selama lebih sedekad berjaya menjadi datuk bandar sebuah daerah di Tokyo, lebih 9,000 kilometer jauh dari tempat tinggalnya.

Ia selepas dia memenangi kempen dengan bantuan media sosial ketika penularan Covid-19.

Portal Independent melaporkan, Satoko Kishimoto, 47, menetap di bandar Leuven di Belgium bersama suami dan dua anaknya.

Dia kini bersedia menjadi datuk bandar daerah Suginami, Tokyo, selepas memenangi pilihan raya tempatan di bandar di Jepun itu selepas menang tipis dengan hanya kelebihan 200 undi.

"Ketika krisis Covid-19, apabila segala-galanya berlaku dalam talian, Satoko banyak mengambil bahagian dalam debat awam dalam talian di Jepun dari Leuven," kata Olivier Hoedeman, suami kepada wanita itu dalam temu bual dengan stesen radio tempatan di Belanda.

Hoedeman berkata, Satoko sangat berminat dalam politik dan banyak belajar mengenai perkara itu melalui kerjayanya di Institut Transnasional di Amsterdam.

"Dia menjadi sangat popular dengan gerakan progresif di Jepun dan diminta untuk bertanding jawatan Datuk Bandar di Suginami," katanya.

Hoedeman berkata, Kishimoto tinggal di Jepun selama 25 tahun pertama hayatnya dan kemudian berpindah ke Belanda dan seterusnya ke Leuven di mana dia tinggal sekarang.

"Tetapi Satoko sentiasa mengekalkan hubungan dengan Jepun, jadi apabila jemputan datang untuk bertanding jawatan datuk bandar, dia serta-merta bersemangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 7:00 AM