Georgie Joseph


PELAWAK Ali Puteh mengakui dia sangat terguris dengan tindakan usahawan terkenal, Datuk Aliff Shukri yang menjadikan waktu pilu dihadapi keluarganya sebagai kesempatan untuk menangguk di air keruh.

Ali berkata dia bersyukur dengan niat ikhlas usahawan itu memberi sumbangan kepada balu arwah abangnya, Abam tetapi sedih kerana secara tidak langsung sudah memecah belahkan silaturahim keluarga kedua pihak.

“Saya dengan beliau (Aliff Syukri) bukan tidak kenal dan pernah buat penggambaran pun dengan arwah Abam. Memang beliau mungkin tiada niat namun secara tidak langsung kesannya sehingga keluarga kami dihina.

“Jika beliau ke rumah Nurhidayah untuk memberi sumbangan saja, bagus. Tapi kenapa sampai dirungkai hal keluarga kami? Saya mohon sangat dia minta maaf terutama kepada ibu saya yang paling terguris.

“Kalau tidak mahu minta maaf dengan saya, tak apa, saya maafkan beliau. Tapi berjumpalah dengan ibu saya dan datanglah ke rumah kami memohon maaf tanpa perlu ada media disebabkan beliau sudah berjaya memecah belahkan keluarga kami,” katanya.

Ali juga mengakui dia mungkin tidak akan mampu melawan kehebatan Aliff untuk ke mahkamah. Namun dia memohon supaya ahli perniagaan itu kembali bertaubat selepas menjaja cerita tidak elok mengenai keluarganya.

“Bertaubatlah, pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan pecahkan silaturahim keluarga orang.

“Suatu hari nanti, kamu juga akan mati dan janji Allah itu pasti, mati itu pasti. Adakah kekayaan kamu akan dibawa mati?

“Daripada situ kamu akan terfikir, adakah anak-anak kamu akan berebut harta-harta yang kamu tinggalkan? Di mana adab kamu sebagai orang Islam,” katanya.

Terdahulu, Ali bertemu dengan media pada sidag media khas diadakannya untuk menjawab semua isu yang timbul di Petaling Jaya.

Semalam, Ali menerusi temubual di akaun Instagram @officialriax meminta semua pihak supaya tidak hanya mendengar kenyataan dibuat sebelah pihak sahaja mengenai isu kakak iparnya, yang dikata dianiaya oleh keluarga Ali selepas kematian Allahyarham Abam.

Dalam temu bual itu juga, Ali menjelaskan hal sebenar yang membuatkan dia mengeluarkan kenyataan berbaur emosi dan kasar di Instagram terhadap Nurhidayah.

Pada 10 Februari lalu, Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Gombak akibat demam panas.

Jenazah arwah yang diziarah lebih 2,000 orang di masjid dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Berita berkaitan

Ali minta maaf secara terbuka pada kakak ipar

Jangan dengar sebelah pihak

'Saya dahaga publisiti? Sangat kelakar...' - Aliff Syukri

Ali Puteh terkilan kenyataan kakak ipar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 8:08 PM