RAMLI beri idea berbeza dalam konsert untuk hasil terbaik. FOTO Saifullizan Tamadi
RAMLI beri idea berbeza dalam konsert untuk hasil terbaik. FOTO Saifullizan Tamadi
Ridzuan Abdul Rahman


ELLA tetap satu dan tiada galang gantinya. Inilah yang boleh diperkatakan apabila melihat persembahan dan vokalnya pada Konsert Kembara Kita 2020 di Istana Budaya pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menyaksikan persembahannya di atas pentas berprestij yang turut menampilkan Datuk Ramli Sarip itu seakan tidak percaya yang usianya kini sudah 54 tahun.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan belum ada penyanyi generasi sekarang yang boleh menyaingi atau sekurang-kurangnya menjadi pengganti Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin.

Selain kekuatan vokal, karakter sinonim Ella yang manja juga menjadi faktor dia disukai ramai.

Biarpun awalnya gementar, Ella mengakui puas dapat mengukir satu lagi sejarah baru dalam diarinya sebagai artis.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat juga menyelesaikan tanggungjawab ini dengan baik. Sukar untuk digambarkan perasaan saya apabila terbabit dalam konsert ini. Ia bukan senang dan bukan juga susah, tapi saya kena ikut tema. Saya rasa tema itulah yang menjadi panduan apa yang ditampilkan pada konsert ini,” katanya.

Menurutnya, idea yang diketengahkan oleh Ramli adalah sesuatu yang berbeza.

ELLA tetap hebat dalam persembahan. FOTO Saifullizan Tamadi
ELLA tetap hebat dalam persembahan. FOTO Saifullizan Tamadi

“Pembahagian lagu yang ditampilkan amat seimbang. Sebenarnya saya tak pernah lagi buat persembahan dengan abang Ramli sebelum ini.

“Beliau bagi idea dan saya fikir ia sesuatu yang terbaik. Banyak lagu-lagu hit yang saya ada dan saya gembira dapat menyampaikannya kepada peminat. Apapun kami sudah buat sesuatu yang berbeza dan tak pernah dibuat, jadi biarlah peminat yang menilaikan,” katanya.

Penyanyi bergelar Ratu Rock ini ternyata tenang dan tidak melatah apabila berlaku masalah teknikal dalam persembahannya.

“Alhamdulillah, ia berjaya diatasi oleh kru. Memang agak mengganggu tapi isu teknikal memang biasa berlaku dalam mana-mana persembahan. Saya kenalah bijak menghiburkan peminat. Saya sebenarnya banyak fikir kerana sebelum persembahan bermula diberitahu ada penonton tersangkut dalam kesesakan jalan raya dan pelbagai masalah lagi.

“Ada yang datang separuh jalan. Nak lambatkan persembahan, kasihan pula pada yang sudah lama sampai,” katanya menggambarkan keprihatinannya terhadap peminat.

Dalam pada itu, Ella mengakui jasa Ramli yang terlalu besar kerana menaikkan namanya dalam bidang seni.

“Beliau menerbitkan tiga album saya iaitu Pengemis Cinta, Puteri Kota dan Identiti. Hasil sentuhannya inilah berjaya mengekalkan nama saya dalam industri muzik,” katanya.

Ditanya aktivitinya pada tahun ini, Ella mengakui jadualnya sudah padat.

“Saya memang tak pandai duduk diam. Ada banyak perancangan nak buat antaranya buat konsert. Insya-Allah bulan April nanti saya akan buat konsert ‘unplugged’ di Singapura.

“Saya juga teruja apabila abang Ramli pun ada perancangan untuk teruskan konsert Kembara Kita ke lokasi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:00 AM