myMetro

Apa ada pada usia? Inilah yang dibuktikan Norzila Aminuddin atau Ella pada konsert Ella 2016 yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, malam kelmarin.

Dengan usia lewat 40-an, penyanyi bergelar ratu rock negara ini lincah menghiburkan hampir 8,000 peminat yang sudah 10 tahun dahagakan konsert besar daripadanya.

Jeritan dan pekikan penonton mula kedengaran sebaik jarum jam menghampiri 9 malam. Mereka seakan-akan tidak sabar untuk berhibur sambil kembali mengimbas nostalgia dengan lagu popular Ella.

Tepat jam 9 malam, sorakan bergema apabila pentas mula dibuka. Bagaimanapun penonton terlebih dulu dihiburkan dengan nyanyian Kaka Azraff menerusi lagu Bukan Hal Aku dan Standing In The Eyes Of The World.

Seterusnya tampil pula kumpulan Bunkface menghiburkan penonton menerusi lagu Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda. Kedua-dua artis ini berjaya mencipta aura yang menyuntik emosi peminat untuk berhibur.

Detik yang ditunggu akhirnya tiba. Peminat dihidangkan dengan tayangan video klip memaparkan Ella menaiki helikopter bagi meninjau persiapan konsertnya di Stadium Malawati sehari sebelum itu.

Tepat jam 9.30 malam, penyanyi yang penuh pesona ini akhirnya tampil di pentas mendendangkan lagu Permata Biru disambut pekikan bergemuruh peminat. Persembahan itu diiringi barisan pemuzik mantap - Man Kidal (gitar utama), Ritz (gitar kedua), Fly (bass), Ujang (dram) dan Rozario Rasul (keyboard).

Dia seterusnya menyampaikan lagu Justeru, Bendera Damai dan Pengemis Cinta yang turut sama dinyanyikan peminat.

“Anda adalah permata biru saya. Terima kasih kepada anda yang datang memilih konsert saya. Terimalah satu lagu hit saya, Dua Insan Bercinta,” katanya membuka bicara dengan peminat.

Ketika itu, Ella turut mengundang orang yang berjasa menaikkan namanya menerusi kumpulan Ella & The Boys, iaitu Lord Lokman bermain gitar untuk mengiringi persembahannya.

Ella bersama Man Kidal selaku pengarah muzik konsert ini ternyata bijak membaca selera peminat apabila terus menyajikan deretan lagu menarik dan popular seperti Layar Impian, Cinta Selembut Sutera dan Pergilah Sayang yang turut menampilkan adiknya, Korie.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Kasih, Mungkin dan Mendung Tak Bererti Hujan. Dia memilih berduet dengan suaminya Azhar Ghazali untuk lagu yang pernah dinyanyikan bersama Deddy Dores ini.

Sikap sporting Azhar menerima tepukan bergemuruh daripada peminat. Bahkan dia juga tidak segan mengucup dahi isterinya sebagai tanda sayang yang mendalam.

Peminat turut disajikan dengan persembahan hebat segmen ‘Guitar Hero’ menerusi instrumental lagu Belenggu bagi memberikan peluang untuk Ella berehat. Segmen itu menampilkan Man Kidal, Ritz, Edrie Hashim, Hillary Ang, Lord Lokman dan Joe Wings.

Ella tampil semula selepas itu menyampaikan lagu Penawar. Kemudian, dia menjemput peminat gitar terkenal Jepun, Kyoji Yamamoto mengiringi nyanyiannya menerusi lagu Bayangan. Kyoji juga sering menjadi mangsa usikan Ella.

Persembahan rancak dan menghiburkan terus ditampilkan Ella menerusi lagu Nuri, Permata Pemotong Permata, Rindu, Demi, Menanti, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Kitalah Bintang, Bolero, Kesal dan Tiada Tangis Lagi.

Gemilang dipilih menjadi lagu penutup persembahan konsert ini dan sememangnya ia meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Kesimpulannya, Ella memang hebat dan sukar dicari ganti serta terus kekal sebagai ratu rock negara. Selain peminat, konsert ini turut ditonton oleh beberapa rakan artis lain antaranya Erra Fazira dan Jihan Muse.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2016 @ 11:17 AM
ELLA.
ELLA.
GABUNGAN gitaris hebat mengiringi persembahan Ella.
GABUNGAN gitaris hebat mengiringi persembahan Ella.
KEMBALI bergandingan dengan Kyoji.
KEMBALI bergandingan dengan Kyoji.
AZHAR turut tampil dalam persembahan Ella.
AZHAR turut tampil dalam persembahan Ella.