AHMAD Rosli. FOTO Nazri Abu Bakar
AHMAD Rosli. FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) akur apabila skuad Melaka United (MU) dikenakan pemotongan tiga mata serta mata oleh First Instance Body (FIB) susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Setiauasaha Agung MUSA, Ir Ahmad Rosli Hamzah berkata, pihaknya berjaya membuat bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2021 mengikut pelan jadual pembayaran.

Katanya, namun bagi pembayaran tarikh akhir kedua, jadual terbabit tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual berdasarkan situasi semasa dan pandemik Covid-19 ketika ini.

Menurutnya, segala usaha giat dilakukan bagi menjelaskan baki tunggakan disebabkan pengurusan terdahulu namun pengurusan MUSA dan Melaka United FC (MUFC) kini tetap akan mengambil tanggungjawab.

"Apapun, kami tidak berdepan masalah menyelesaikan gaji Januari dan Februari musim ini bagi memastikan pemain tidak menghadapi masalah.

"Justeru, kami mengharapkan usaha memastikan 'hutang lama' berkenaan akan berjaya diselesaikan dan tidak mengganggu mental pemain musim ini,"katanya.

Pemotongan mata berkenaan dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa lain.

Dalam satu kenyataan, FIB mengharapkan keputusan itu dijadikan teladan untuk memastikan Melaka mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang.

"Jika pasukan terbabit mengulangi kesalahan yang sama, perkara itu akan dibawa ke FIB untuk keputusan dan tindakan yang seterusnya," katanya.

Dengan pemotongan mata ini, Melaka 'tergelincir' ke tangga ke-10 Liga Super dengan satu mata sekalipun sudah mengharungi empat perlawanan.

Pada musim lalu, MU juga pernah menerima padah apabila dikenakan pemotongan tiga mata serta merta susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 1:17 PM