MANGSA dikenali sebagai Santi ditemui mati di dalam timbunan pakaian di rumah sewanya di Taman Selasih.
MANGSA dikenali sebagai Santi ditemui mati di dalam timbunan pakaian di rumah sewanya di Taman Selasih.
Nor Farhani Che Ad


WANITA warga Indonesia ditemui mati dalam timbunan pakaian di rumah sewanya di Taman Selasih, Kulim, petang semalam.

Mayat Santi, 36, ditemui kenalannya, Ahmad Arfie, 54, kira-kira 2.30 petang sewaktu lelaki terbabit ke rumah wanita itu untuk mengambil dokumen pengenalan diri dua anak wanita itu.

Menurut Ahmad, Santi menghantar dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun ke rumahnya sekitar 9 pagi pada Ahad lalu.

“Pada hari berkenaan, Santi masih tidak menjemput anak-anak mereka sehingga ke malam.

“Saya ke rumah Santi pada jam 11 malam, namun rumahnya masih dalam keadaan gelap dan panggilan telefon juga tidak dijawab,” katanya ketika ditemui.

Dia berkata, dia sekali lagi ke rumah Santi pada petang semalam dan menemui Santi dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu menghubungi polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, wanita itu dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 72 jam.

Katanya, bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada badan wanita itu.

“Mayat wanita itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita sedang mengesan waris mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:29 AM