Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Seramai 112 pesawah dari tiga kampung di sini, mendakwa kerugian apabila sawah padi seluas 79 hektar yang diusahakan di Parit Mentara, Parit Haji Ali dan Alor Pongsu diserang serangga perosak tanaman padi dikenali sebagai 'bom' atau bena perang.

Pesawah, Sabran Muhammad Saaid, 42, berkata, dia yang mengusahakan kira-kira satu hektar sawah padi di Parit Mentara mula menyedari serangan serangga itu dua minggu lalu ketika padi berusia 80 hari.

Menurutnya, pelbagai jenis racun sudah digunakan namun masih tidak dapat mengawal serangan bena perang.

"Penat kami meracun. Jika petak sawah tertentu diracun, bena perang akan menyerang di petak sawah lain pula.

"Sekiranya serangan serangga ini berterusan dan tidak dapat dikawal, pesawah akan mengalami kerugian lebih besar selain berdepan pemotongan padi yang tinggi daripada pengilang.

"Kami harap kerajaan dapat membantu dan jika boleh, masukkan serangan bena perang ini dalam bantuan bencana bagi membolehkan pesawah 'bernafas'," katanya ditemui di sawah padinya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria, Pengarah Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman dan Pegawai Pertanian Kerian Ridhuan Othman.

RAZMAN Zakaria bersama Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman meninjau sawah padi di Parit Mentara 3 dan Parit Haji Ali yang musnah angkara serangan bena perang. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
RAZMAN Zakaria bersama Pengarah Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman meninjau sawah padi di Parit Mentara 3 dan Parit Haji Ali yang musnah angkara serangan bena perang. STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

Dalam pada itu, Razman berkata, hasil bancian dan pemantauan pihaknya melalui agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, seluas 79 hektar sawah padi di Bagan Serai diserang bena perang dan beberapa lagi seperti pianggang dan bakteria hawar seludang.

Namun daripada jumlah itu, pihaknya menganggarkan hanya 10 ke 20 peratus sahaja tanaman padi yang diserang penyakit musnah, manakala selebihnya masih dapat diselamatkan.

"Daripada jumlah itu, kita menganggarkan kerugian yang dialami pesawah di sini sekitar RM24,000 berikutan tidak semua petak sawah musnah diserang bena perang.

"Buat masa ini, pihak pertanian sudah menggerakkan pasukan untuk membantu pesawah bagi tujuan kawalan melalui kaedah pendebuan dan asap bagi mencegah penyakit ini merebak dan terus memusnahkan sawah padi," katanya.

Razman turut memaklumkan yang cadangan memasukkan serangan bena perang ke dalam bantuan bencana sedang diperhalusi di peringkat atasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 2:26 PM