Noriza Sainal

Pernah popular suatu ketika dulu, sitkom Spanar Jaya bakal menyajikan penonton dengan siri terbarunya dikenali dengan Spanar Jaya X.

Sitkom berdurasi 30 minit ini ditayangkan sempena meraikan 20 tahun Spanar Jaya sejak diperkenalkan pada 1998.

Pelakonnya, Douglas Lim berkata, sitkom berkenaan adalah arahan Ahmad Idham yang juga pelakon asal sitkom itu.

“Ini adalah arahan pertama Ahmad Idham dalam pembikinan naskhah komedi. Walaupun pertama kali, dia tiada masalah kerana mempunyai pengalaman lama dalam bidang pengarahan sebelum ini.

“Pengalaman itu bukan saja memudahkan saya, malah sikapnya yang menepati masa dapat menjimatkan masa dan penggambaran tamat seperti yang dijadualkan,” katanya.

Pelawak solo popular ini memegang watak sebagai Uncle Henley, pemilik kedai alat ganti kereta dan pembekal kepada bengkel Spanar Jaya.

DOUGLAS selesa bekerja dengan Ahmad Idham.
DOUGLAS selesa bekerja dengan Ahmad Idham.

“Untuk siri terbaru ini, cabaran utama kami adalah untuk seimbangkan antara siri lama dan yang terbaru. Ini kerana sitkom Spanar Jaya mempunyai penontonnya sendiri, tetapi penonton yang tidak pernah menonton siri lama juga akan menonton, jadi kesinambungannya tidak banyak diselitkan.

“Untuk siri baru ini, topik baru mengenai video viral dan skim penipuan antara pembaharuan yang akan diketengahkan dalam episod baru bermula 2 Februari tahun depan,” katanya.

Douglas berkata, penggambaran yang berakhir Oktober lalu itu turut menampilkan pelakon asal Spanar Jaya seperti Opie Zami, Ramasundram Sengah, Radhi Khalid selain Ahmad Idham sendiri dengan pengekalan watak seperti siri terdahulu.

Apa yang menarik, siri komedi terbitan Enfiniti Production ini akan menampilkan watak guru tuisyen Bahasa Inggeris, Viki yang dilakonkan Sangeeta Krishnasamy.

Sangeeta berkata, dalam siri kali ini, dia melakonkan watak guru Bahasa Inggeris kepada Mat Rock lakonan Opie.

SANGEETA seronok berlakon sitkom.
SANGEETA seronok berlakon sitkom.

“Bengkel Spanar Jaya perlu ‘dipasarkan’ semula kepada orang ramai, jadi penggunaan bahasa Inggeris itu pada masa sekarang memerlukan Mat Rock berguru dengan saya.

“Saya memang peminat Ahmad Idham dan sering menonton filem dan drama lakonannya dan tawaran berlakon dalam sitkom ini pastinya membuatkan saya teruja.

“Malah, pembabitan dalam sitkom ini membuat saya gembira dan lebih santai kerana penggambarannya bermula selepas saya habis berlakon dalam drama Jibril dengan watak serius.

“Ini adalah pembabitan pertama saya dalam naskhah komedi, tetapi saya cuba lari dari zon selesa dan mencuba watak baru. Opie banyak membantu saya untuk menjiwai watak kerana dia sendiri sering menghidupkan set penggambaran dengan perwatakannya yang ceria,” katanya.

Spanar Jaya X bakal menemui penonton menerusi TV3 setiap Sabtu bermula 2 Februari 2019, jam 11 malam. Ia turut menampilkan lakonan Uqasha Senrose dan Ben Amir selaku watak utama serta penampilan khas Nabila Huda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:00 PM