TAK nafikan kelantangan suarakan sesuatu perkara menyebabkan tawaran berlakon kurang diterima.
TAK nafikan kelantangan suarakan sesuatu perkara menyebabkan tawaran berlakon kurang diterima.
Syanty Octavia Amry


MENGAKUI kelantangannya bersuara antara sebab dia kurang diberi perhatian dalam industri hiburan sejak kebelakangan ini, Sharifah Amani tidak pernah patah semangat.

Sharifah Amani yang mesra disapa Nani masih aktif berkarya dalam teater walaupun lakonan dalam drama dan filem agak kurang diterima.

Pelakon berusia 33 tahun ini berkata, dia percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.

Oleh itu, selagi masih diberikan kudrat dan peluang, dia akan terus berkarya walaupun masih ada yang kurang menerima.

“Saya akui sedih dengan apa yang berlaku, tidak dinafikan kelantangan menyuarakan sesuatu perkara menyebabkan orang kurang menawarkan saya berlakon.

“Malah, ada penaja yang menolak untuk memberikan peruntukan apabila mendapat tahu saya antara pelakon dalam filem atau drama berkenaan.

“Saya tidak berasa dianak tirikan tetapi mungkin kerana terlalu berani bersuara menyebabkan ada segelintir pihak kurang selesa,” katanya.

Namun, Nani terus aktif dalam bidang teater malah beberapa teater lakonannya mendapat perhatian dan sambutan di negara luar seperti Singapura serta Jepun.

“Saya percaya dengan perancangan Allah. Apabila Dia sudah menetapkan rezeki seseorang dan selagi ia berpihak kepada saya, saya akan terus berkarya.

“Walaupun kurang berlakon drama dan filem, saya tetap sibuk dengan teater dan pembikinan filem pendek.

“Tahun lalu, saya selesai menjayakan teater di Tokyo, Jepun yang turut dibintangi beberapa pelakon dari Malaysia, Indonesia dan Jepun,” katanya.

PELAKON filem Motif, Rosyam Nor dan Sharifah Amani. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria
PELAKON filem Motif, Rosyam Nor dan Sharifah Amani. FOTO: Intan Nur Elliana Zakaria

Anak kedua daripada empat beradik ini bersyukur masih berpeluang mengembangkan karya di negara orang.

“Selagi masih diperlukan dalam bidang seni, saya akan terus berkarya dan berkongsi idea dan jika waktu memerlukan berhenti, berhentilah saya.

“Alhamdulillah, selepas sebulan berkampung di Jepun tahun lalu, produksi di sana berminat untuk meneruskan kerjasama dengan saya sekali lagi. Jika tiada halangan saya akan ke sana lagi untuk menampilkan karya teater yang baharu,” katanya.

CABARAN BARU NANI DALAM MOTIF

Selepas kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Gol & Gincu Vol 2 tahun lalu, Nani bakal kembali menerusi filem Motif yang akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 26 September ini.

Bergandingan dengan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Iedil Dzuhrie Alaudin, Sherie Merlis dan Allahyarham Khalid Salleh, Nani mengakui Motif filem yang sangat mencabar baginya.

Selain melakonkan watak serius, Nani yang memegang watak sebagai polis bernama Dewi mengakui jalan cerita filem ini memerlukan komitmen yang tinggi kerana dia adalah tunggak utamanya.

Namun, pengalaman berlakon di samping mereka yang hebat, tambahan lagi Rosyam adalah idola yang sudah lama Nani mahukan berlakon bersama, banyak perkara dipermudahkan.

Walaupun sudah lama dalam bidang lakonan, bagi Nani setiap cerita punya cabaran sendiri yang perlu dilalui setiap pelakon.

“Saya akui agak susah dan sangat mencabar kerana watak dalam filem ini sangat berat. Bagaimanapun, pengalaman beraksi di samping pelakon hebat banyak membantu.

“Apatah lagi pengalaman pernah bekerja dengan pengarahnya, Nadiah Hamzah sebelum ini membuatkan saya tahu apa yang dia mahu,” katanya.

Nani juga bersyukur, Nadiah seorang pengarah dan penulis skrip yang sangat tegas mahu mempertahankan dirinya untuk terus berlakon dalam filem berkenaan walaupun berdepan banyak halangan.

“Saya yakin dia ada sebab tersendiri mengapa memilih saya untuk watak ini dan tidak sangka dia sangat tegas terhadap apa yang dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:25 AM