Alias Abd Rani


“TUNGGULAH, nanti polis datang angkut. Muka awak (penjenayah) sudah terpampang dekat CCTV (rakaman kamera litar tertutup),” kata Mohd Khairul Adha M Khalid, 35.

Mohd Khairul Adha memberi reaksi itu selepas kedai dobi miliknya dimasuki penjenayah di Ampang Tasik Tambahan di Ampang, pagi ini.

Menerusi rakaman CCTV itu, kelihatan dua lelaki berlegar-legar berhampiran kedai miliknya sebelum seorang daripada mereka berjalan lalu memecah pintu belakang premis terbabit.

Seorang lagi penjenayah menunggu di luar dipercayai menjadi mata jika ada individu datang ke premis berkenaan.

Menceritakan perkara itu, Mohd Khairul berkata, kejadian berlaku sekitar 8 pagi dan hanya disedari selepas dia menerima panggilan seorang pelanggan memaklumkan mesin tukaran syiling tidak berfungsi.

Sebaik menerima aduan, Mohd Khairul berkata, dia bergegas ke kedai terbabit untuk membuat pemeriksaan sebelum mendapati pintu belakang terbuka, manakala mesin terbabit sudah dipecahkan.

“Saya kemudian memeriksa rakaman CCTV dan mendapati perbuatan ini dilakukan dua lelaki terbabit dengan wajah salah seorang daripadanya terpampang dalam CCTV.

“Mujurlah malam tadi saya kutip duit dalam mesin. Jika tidak, sudah tentu jadi habuan penjenayah,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Khairul Adha kemudian berkongsi kejadian itu dalam Facebook miliknya bagi meminta bantuan netizen mengesan kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, sejak beroperasi pada 2015, ini kejadian pertama yang dialami, malah dia turut dimaklumkan beberapa minit sebelum kejadian itu, terdapat sebuah lagi dobi berdekatan turut menjadi mangsa.

“Saya dapat tahu perkara ini selepas memuat naik dalam FB dan pemilik dobi memaklumkan, kedainya juga menerima nasib sama.

“Tujuan saya tular perkara ini supaya pemilik dobi berjaga-jaga kerana kejadian kerap berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 10:43 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan dua lelaki yang memecah masuk kedai dobi Mohd Khairul. FOTO Ihsan Mohd Khairul Adha
RAKAMAN CCTV menunjukkan dua lelaki yang memecah masuk kedai dobi Mohd Khairul. FOTO Ihsan Mohd Khairul Adha