MOHAMED Azmin. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Azmin. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


“MEETING (mesyuarat) biasa. Tidak ada perkara yang luar biasa,” itu jelas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika diminta mengulas mengenai pertemuan sulit diaturnya bersama sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi.

Menurutnya, ia satu mesyuarat biasa dan beliau mengambil sikap terbuka untuk menerima mana-mana pihak yang ingin bertemu dengannya.

“Saya bertemu dengan rakyat, masyarakat perniagaan dan Ahli Parlimen sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau bukan PH kerana penting bagi sebuah kerajaan yang peduli rakyat.

“Kita ingin dapatkan maklum balas daripada rakyat dan masyarakat perniagaan mengenai apakah penerimaan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Bagi saya ini (mesyuarat malam tadi) bukanlah satu perkara yang luar biasa yang kita harus gembar-gemburkan. Saya bertemu dengan ramai pihak setiap hari,” katanya ketika ditemui sebelum menghadiri satu mesyuarat di bangunan Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan mengaturkan lagi mesyuarat yang sama pada masa depan, Mohamed Azmin berkata, beliau akui berhadapan dengan pelbagai mesyuarat setiap hari.

“Setiap hari saya ada mesyuarat, bermula dari pagi hingga lewat malam bersama orang berlainan dan kumpulan berbeza.

“Ada ahli politik, ada Ahli Parlimen... ada pemimpin perniagaan dan ada pelabur asing. Itu tugas sebuah kementerian... saya perlu bertemu dengan ramai orang,” katanya.

Ditanya sama ada beliau perlu menjelaskan kepada biro politik parti susulan pertemuan sulit itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memaklumkan, beliau akan berbuat demikian jika ada keperluan.

“Kalau ada keperluan saya terangkan,” katanya.

Ditanya juga sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat biro politik parti yang dijadualkan malam esok, Mohamed Azmin berkata, beliau akan menyemak jadual tugasan terlebih dulu.

“Saya semak jadual saya, biasanya kalau saya tiada apa-apa tugas rasmi, saya akan hadir program parti. InsyaAllah,” katanya.

Berita berkaitan

Azmin wajib datang mesyuarat esok - Anwar

Majlis Presiden PH tak tahu - Dr Xavier

UMNO akan siasat!

'Saya tak tahu pun..' - Mujahid

Wan Azizah sindir Azmin

Saya tak tahu apa dibincangkan - PM

Azmin jumpa Ahli Parlimen BN

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 4:28 PM