Mohd Rizal Abdullah dan Noorazura Abdul Rahman


KEKALAHAN pasukan Kedah 0-3 kepada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Bukit Jalil, malam tadi, ternyata ‘meruntun’ jiwa terutama penyokong cilik pasukan Hijau Kuning itu.

Telatah dan gelagat ‘comel’ penyokong ini mula tular di laman sosial sehingga mendapat perhatian ramai yang kagum dengan semangat mereka.

Antaranya, rakaman video Muhammad Syafi Rayyan Syahrillnizam, 8, yang mulai menangis apabila JDT menjaringkan gol kedua pasukan itu.

“Kedah kalah, depa (mereka) kalah dua dah...dah banyak kali doa, dah beratus-ratus kali dah... tak boleh menang lagi,” kata Mohd Syafi menerusi rakaman video dan dikongsi di Facebook (FB) sejak malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Syafi Rayyan yang dihubungi berkata, dia sedih dan kecewa apabila JDT menjaringkan gol pertama, dan bertambah sedih bila JDT menjaringkan gol kedua dan seterusnya.

"Saya sedih apabila melihat jaringan pertama, dan apabila melihat jaringan kedua, saya tidak dapat menahan perasaan.

"Memang dalam hati saya dah berdoa agar Kedah dapat jaringkan gol balik selepas JDT menjaringkan gol pertama.

"Tetapi, bila masuk jaringan kedua dari JDT, saya rasa hilang semangat dan terlalu sedih, lebih menyedihkan apabila masuk jaringan ketiga," katanya.

Katanya, disebabkan terlalu sedih kecewa, dia sukar tidur kerana asyik teringatkan perlawanan itu.

"Tetapi, hari ini dah baik, dah tak sedih lagi, " katanya.

Ibunya, Nor Farizan Ismail, 34 berkata, anaknya tidak dapat mengawal emosi dan tiba-tiba sebak apabila JDT menjaringkan gol kedua.

“Meskipun begitu, dia masih menyaksikan perlawanan sehingga habis.

“Tetapi masih dalam keadaan kecewa dan sebak sehingga ke bilik tidur,” katanya yang menetap di Sungai Petani.

Katanya, anaknya memang penyokong tegar pasukan bola sepak Kedah dan tidak pernah terlepas menyaksikan sebarang perlawanan membabitkan pasukan Kedah di televisyen.

“Memang begitulah telatahnya, kalau Kedah kalah, memang dia sedih, kalau menang dia orang pertama yang bersorak,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi Aiman Muhaimin Zul Azhar, 8, dari Taman Wira, Mergong yang tidak dapat menahan kekecewaan sehingga menanggalkan jersi dan mencampak ke lantai.

Rakaman video Aiman turut tular dan menerima pelbagai reaksi dari orang ramai terhadap gelagat kanak-kanak itu.

“Saya mula sedih pada jaringan pertama, dan apabila masuk jaringan kedua dari JDT, saya rasa kecewa sangat sehingga menanggalkan jersi dan melemparkannya ke lantai.

“Selepas jaringan ketiga saya terus masuk ke bilik,” kata peserta Akademi Tunas Kota Setar di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 9:00 PM
PENYOKONG tegar pasukan Kedah, Muhammad Syafi Rayyan (kiri) dan Aiman Muhaimin. FOTO Norazura Abd Rahman
PENYOKONG tegar pasukan Kedah, Muhammad Syafi Rayyan (kiri) dan Aiman Muhaimin. FOTO Norazura Abd Rahman