BEKAS guru agama yang menghadapi hukuman atas kesalahan merogol, ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Unit Pemulihan Penjara Penor Ketua Inspektor Penjara (KIP) Rosmizi Mohamad di penjara Penor. FOTO Mohd Rafi Mamat
BEKAS guru agama yang menghadapi hukuman atas kesalahan merogol, ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Unit Pemulihan Penjara Penor Ketua Inspektor Penjara (KIP) Rosmizi Mohamad di penjara Penor. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

GAGAL mengawal gelora nafsu mendorong guru agama merogol gadis bawah umur yang juga teman wanita kepada rakannya dalam kejadian yang berlaku kira-kira 13 tahun lalu.

Episod hitam itu menyebabkan Fadili, 39, (bukan nama sebenar) yang berasal dari Kapit, Sarawak terpaksa merengkok di dalam penjara selama 24 tahun dan dikenakan enam sebatan.

“Saya tidak dapat mengawal nafsu dan godaan syaitan ketika itu hingga sanggup melakukan perbuatan jijik tanpa rasa berdosa dan bersalah.

“Selepas kira-kira lima minit melakukan perbuatan terkutuk itu, timbul perasaan perasaan menyesal namun ianya sudah tidak bermakna lagi,” katanya.

Dia yang kini menjalani hukuman di Penjara Penor, di Kuantan, berkata, sebagai individu yang memiliki ilmu agama, tidak sepatutnya dia melakukan perbuatan itu sehingga mencalarkan imej guru agama serta majikan tempatnya bekerja.

Fadili yang berketurunan Iban memeluk Islam pada 1997 dan memiliki Diploma Pengurusan dan Dakwah dari pusat pendidikan Islam terkenal di pantai timur.

“Saya reda dan pasrah dengan hukuman yang diterima kerana ia mengajar saya erti kehidupan sebenar dan menginsafi segala kesilapan yang pernah dilakukan.

“Saya bersyukur walaupun bergelar banduan dan berlainan agama namun, keluarga tidak membuang saya sebaliknya sering melawat saya di penjara,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Dia yang berstatus banduan peringkat khas berkata, dia gemar berada di Unit Pemulihan (Halaqah) kerana selain untuk mencari ketenangan hati, dia juga sering berkongsi ilmu agama dengan banduan lain.

Katanya, dia sudah tiga kali membuat permohonan untuk mengurangkan hukuman, namun tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 2:51 PM