POK Uda meluahkan penyesalan kepada wartawan di Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
POK Uda meluahkan penyesalan kepada wartawan di Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAMPAI sekarang saya masih dibayangi kesilapan lalu, hanya Allah yang tahu rasa penyesalan yang saya alami sekarang,” kata banduan, Pok Uda, 55, (bukan nama sebenar) dari Setiu ketika ditemui di Penjara Marang, baru-baru ini.

Bekas nelayan itu menjalani hukuman penjara 19 tahun dan tiga sebatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol anak kandungnya pada 2004.

Pok Uda berkata, walaupun anak yang menjadi mangsa sudah memaafkan perbuatan kejinya itu namun sampai kini dia masih dibelenggu rasa bersalah.

“Terasa seperti kesilapan dan dosa saya itu tidak diampunkan Tuhan, berasa sangat kejam dan zalim terhadap anak sendiri sehingga berasa sangat bersalah,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika isterinya baru meninggal dunia dan dia berada dalam keadaan khayal.

“Semua itu berlaku luar kawalan kerana ketika kejadian saya sedang khayal ganja dan arak seterusnya hilang pertimbangan.

“Ketika itu saya baru saja kematian isteri menyebabkan nafsu tidak terkawal sehingga sanggup melakukan perkara terkutuk itu,” katanya yang mempunyai enam anak berusia 19 hingga 31 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian, anak perempuan yang menjadi mangsa kerakusannya itu berusia 15 tahun tetapi kini sudah berumah tangga.

“Anak-anak termasuk mangsa selalu datang menjenguk saya di penjara ini malah mereka turut membawa enam cucu saya.

“Selepas kejadian itu dan saya disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman bermula 2009, saya menggalakkan semua anak-anak berkahwin.

“Saya tidak mahu lagi kejadian dan kesilapan yang pernah saya lakukan itu berulang,” katanya.

Menurutnya, dia sepatutnya tidak bertindak zalim pada anak kandung sendiri.

“Jika boleh diundurkan masa, saya akan berkahwin supaya terhindar daripada perbuatan terkutuk itu.

“Saya sendiri berasa jijik apabila terkenang peristiwa itu, anak yang sepatutnya menjadi tanggungjawab dan dilindungi, saya khianati,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya menyambut puasa dan Aidilfitri di penjara, katanya, dia tidak berasa terasing kerana anak-anak sering mengunjunginya.

“Saya bertuah kerana anak-anak masih menerima dan memaafkan saya atas perbuatan lampau.

“Ketika mula masuk ke penjara ini saya tidak bercucu, terasa teringin sangat keluar daripada penjara ini untuk memeluk semua cucu saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 3:07 PM