HUJAN lebat menyebabkan banjir di Mukim Siong, Baling. (Gambar kecil) Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. FOTO IHSAN APM
HUJAN lebat menyebabkan banjir di Mukim Siong, Baling. (Gambar kecil) Antara penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. FOTO IHSAN APM
BERNAMA

DUA pusat pemindahan dibuka di Mukim Siong, Baling, malam ini bagi menempatkan 50 penduduk dari 14 keluarga yang terjejas banjir berikutan hujan lebat petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pusat pemindahan dibuka pada 8 malam tadi adalah di Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu 8.

“Setakat ini, tujuh keluarga berpindah ke Surau Kampung Seri Ketengga membabitkan 25 orang dan tujuh keluarga lagi seramai 25 orang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu 8,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, antara kampung lain terjejas banjir ialah Kampung Batu 60, Kampung Bukit Sebelah, Kampung Bendang Sera, Kampung Bawah Gunung, Kampung Pokok Sena dan Kampung Lubuk Pedati.

Katanya hujan lebat selama tiga jam bermula 4 petang menenggelamkan beberapa kawasan rendah termasuk kediaman penduduk berdekatan tepi sungai.

“Anggota APM bersama Penghulu Mukim serta penyelaras Parlimen Baling serta agensi berkaitan kini sedang membantu mangsa banjir.

“Saya menasihatkan penduduk memastikan segala dokumen penting diletakkan di tempat selamat dan jika diarahkan berpindah, mereka diminta berbuat demikian demi keselamatan,” katanya.

Mohd Faizol berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan banjir dan akan memindahkan penduduk yang terjejas secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat APM di talian 04-4701546 atau Bilik Gerakan APM (24 Jam) di nombor 04-4701626.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 12:16 AM