Antara rumah yang dilanda banjir hari ini. FOTO Ihsan APM
Antara rumah yang dilanda banjir hari ini. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin


SEBANYAK 35 rumah di empat kampung di Baling dilanda banjir kilat selepas hujan lebat melanda kira-kira dua jam sejak 6 petang hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan banjir kilat sekitar 9 malam.

Beliau berkata, hujan yang berterusan menyebabkan air naik pada paras 0.5 meter di beberapa kawasan rendah.

“Kebanyakan kampung yang terbabit dalam banjir kilat itu adalah di Mukim Siong dengan 10 rumah dinaiki air di Kampung Sri Ketengga manakala buah rumah di Kampung Tanjung Pari serta 22 rumah pula di Kampung Bukit Sebelah.

“Di Mukim Bakai pula, terdapat sebuah rumah di Kampung Ulu Tawar, turut dinaiki air sedalam satu meter.

“Bagaimanapun tiada pemindahan mangsa dilakukan setakat ini,” katanya hari ini.

Katanya, anggota APM Daerah Baling, bomba dan polis turut memantau keadaan bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 2:07 AM