KEADAAN kereta dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 82, Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat Taman Sri Impian.
KEADAAN kereta dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 82, Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat Taman Sri Impian.
Adnan Ibrahim


KLUANG: “Dia hanya sempat memohon kebenaran untuk keluar makan tengah hari bersama rakan lama. Tidak sangka anak saya, Nursyauqina maut dalam kemalangan tidak lama kemudian,” kata Effendi Ariffin, 45.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, Nursyauqina Effendi, 19, penuntut tahun akhir Kolej Vokasional Rembau di Negeri Sembilan maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 82, Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Sri Impian di sini.

Effendi berkata, anaknya pulang dari kolej untuk bercuti sempena Hari Malaysia sejak Jumaat lalu.

“Namun sekitar jam 12 tengah hari (semalam), Nursyauqina memohon kebenaran untuk keluar bertemu rakan lama ketika bersekolah.

“Ketika berehat di rumah bersama isteri, saya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kemalangan yang berlaku,” katanya.

Dia tidak menyangka kemalangan itu membabitkan anaknya berikutan lokasi kejadian yang agak jauh dari bandar Kluang.

“Bagaimanapun, sebaik melakukan pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang barulah saya percaya itu anak kami,” katanya.

Dia yang tinggal di Taman Seri Permai di Bandar Kluang tidak menyangka kepulangan anaknya yang mesra dengan panggilan Along berakhir tragedi.

“Kami langsung tidak menyangka kejadian ini akan berlaku kerana Along tidak menunjukkan sebarang tanda sejak pulang bercuti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kemalangan membabitkan empat kenderaan dan 10 mangsa.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang kereta iaitu Nursyauqina Effendi manakala sembilan lagi mangsa cedera dan dirawat di HEBHK.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa dari Kota Tinggi ke bandar Kluang bertembung pacuan empat roda dari arah bertentangan yang hilang kawalan dan terbabas.

“Dua lagi kenderaan dari arah sama di laluan mangsa tidak sempat memberhentikan kereta menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:40 AM