ANGGOTA Bomba Kluang berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku keatas kereta Toyota Harrier selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Pahat - Kluang berhampiran Kampung MIC Kluang Kira-kira jam 7.30 pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA Bomba Kluang berusaha memadamkan kebakaran yang berlaku keatas kereta Toyota Harrier selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Batu Pahat - Kluang berhampiran Kampung MIC Kluang Kira-kira jam 7.30 pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA
Adnan Ibrahim


Kluang: Lima pengguna jalan raya bernasib baik apabila diselamatkan anggota tentera sebaik berlakunya kemalangan di Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Kluang berhampiran Kampung MIC pada pagi hari ini.

Seorang daripada mangsa, Zalina Mohd Isa, 47, berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Puteri menuju ke rumah ibunya di Parit Raja.

Menurutnya, kereta dipandunya melanggar takungan air di tepi jalan menyebabkannya hilang kawalan dan kenderaannya terbalik dan berpusing beberapa kali hingga memasuki laluan bertentangan.

"Ketika itu saya tidak menyedari apa yang berlaku namun hanya mengetahui sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah Ayer Hitam dinaiki oleh empat orang sudah mula terbakar.

"Anggota tentera yang secara kebetulan berada di tempat kejadian membantu mengeluarkan semua mangsa," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zaidi Tumiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.36 pagi.

Menurutnya, satu pasukan dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera, sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah Unit Motosikal Gerak Cepat (RIM).

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran sebuah kereta Toyota Harrier selepas dipercayai tebrabit dalam kemalangan dengan kereta Toyota Fortuner.

"Semua lima mangsa yang mengalami kecederaan dikeluarkan dari kenderaan masing-masing oleh pengguna jalan dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang menggunakan ambulans dan EMRS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 2:17 PM