Tunku Azizah kembali menyahaktif akaun @cheminahsayang selepas memberi penjelasan kepada warganet di Twitter.
Tunku Azizah kembali menyahaktif akaun @cheminahsayang selepas memberi penjelasan kepada warganet di Twitter.
Amirul Haswendy Ashari.


BARU beberapa jam warganet dan rakyat meraikan kembalinya Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke laman Twitter, baginda dipercayai kembali menyahaktif akaun rasmi baginda @cheminahsayang, tengah hari tadi.

Sebelum akaun itu dinyahaktif, beberapa warganet sempat meluahkan rasa gembira dan kasih sayang kepada baginda kerana menunjukkan keprihatinannya terhadap beberapa dakwaan yang dibuat sebelum ini.

Malah, kebanyakan mereka mengaku terubat rasa rindu selepas dua hari tidak membaca perkongsian harian permaisuri kesayangan di laman sosial.

Selepas dua hari menyahaktif akaun Twitter @cheminahsayang, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kembali menciap, 7.55 pagi hari ini.

Menerusi ciapan terbaru, baginda bertitah, keputusan menyahaktif akaun Twitter bukan disebabkan sedih dengan komen dibuat warganet, sebaliknya atas sebab-sebab peribadi.

Tunku Azizah turut menyatakan rasa kecewa apabila pihak polis telah menangkap beberapa individu, selain

menitah pihak istana untuk memberitahu pihak polis agar tiada tindakan diambil ke atas beberapa individu yang menghina pihak istana.

"Selama bertahun, Tuanku dan saya tidak pernah membuat laporan polis kerana kata-kata tidak baik mengenai kami. Ini negara bebas," tulis baginda pagi tadi.

Antara perkongsian lain yang sempat dititah baginda sebelum akaun Twitter dinyahaktif adalah walau pun pernah dikeji, dituduh, dihentam dan dimaki-hamun, baginda berdua tidak pernah buat laporan polis.

Sebaliknya baginda mengakui tidak pernah sedih malah ketawa apabila membaca setiap kata-kata dilempar kerana Allah lebih tahu.

Tunku Azizah mengejutkan warganet selepas menutup akaun Twitter sejak Rabu.

Kebanyakan pengguna laman sosial itu beranggapan, tindakan baginda berpunca daripada ciapan beberapa pengguna Twitter yang menurunkan komen negatif berunsur menghina institusi diraja sebelum ini.

Susulan itu, beberapa laporan polis sudah dibuat oleh beberapa individu sejak semalam, selain seorang pengguna dilaporkan sudah pun memuat naik permohonan maaf rasmi di laman sosial sama.

Selain itu, rata-rata pengguna Twitter turut menzahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat mengikuti perkembangan Tunku Azizah dan merayu supaya akaun itu diaktifkan semula.

Berita berkaitan:

  • Saya sedih dan marah - Tunku Azizah
  • 'Patik dah derhaka'
  • Polis terima satu laporan hina Agong, Permaisuri
  • Tuanku... kembalilah
  • Akaun ditutup, netizen sedih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 1:10 PM