TUNKU Azizah. FOTO Arkib NSTP
TUNKU Azizah. FOTO Arkib NSTP
Alias Abd Rani


“BEREHAT sebentar daripada Twitter dan jumpa kembali Januari depan.” Itulah hantaran dimuat naik dalam Twitter Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebelum menyahaktif seketika akaunnya iaitu @cheminahsayang.

Menerusi hantaran itu, Tunku Azizah memaklumkan baginda perlu melakukan banyak perkara, antaranya menulis buku masakan yang terbaru untuk diterbitkan.

“Jumpa kembali Januari ini kerana saya mahu membaca buku, mencanting batik, menonton drama Turki dan melakukan kerja yang sepatutnya.

“Selain itu, saya perlu beri tumpuan melakukan perkara yang amat saya gemari dan kita jumpa Januari 2020 OK. Jaga diri,” katanya.

Tunku Azizah popular menerusi Twitter kerana gemar berinteraksi bersama pengikutnya termasuk berkongsi resepi masakan.

Bukan itu sahaja, baginda juga suka bergurau termasuk memberi komen sekiranya ada pengikut di laman sosial bertanyakan sesuatu.

Ini menyebabkan ramai antara mereka terhibur sekali gus melambangkan baginda mesra rakyat dan mudah didampingi.

Sebelum ini, baginda pernah menyahaktif akaun @cheminahsayang hingga menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk serangan warga maya terhadapnya.

Namun, beberapa hari kemudian, baginda kembali aktif dan memberi penjelasan terhadap keputusan menyahaktif akaun terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 8:19 PM