FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Suraya Roslan


“WARKAH ini sebagai pengganti diri patik menyatakan kekesalan diri berlaku biadab terhadap Tunku.

“Patik hanyalah seorang rakyat biasa yang durhaka (derhaka) terhadap Raja serta kerabatnya. Patik dengan ini merendah diri memohon segala keampunan daripada Raja Permaisuri Agong.”

Demikian warkah terbuka dibuat seorang lelaki selepas tindakannya mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima kecaman netizen.

Tindakan biadab pengguna Twitter dikenali sebagai Firdaus Asyraf itu menyebabkan baginda menyahaktifkan akaun Twitter @cheminahsayang berikutan komen negatif mengenai perkongsian baginda.

Dalam ciapan terkini itu, Firdaus Asraf turut mengharapkan Raja Permaisuri Agong dapat membaca warkah berkenaan dan berkenan menerimanya untuk menghadap.

“Ampun Tunku Beribu-ribu ampun, seandainya Raja Permaisuri Agong membaca warkah ini, patik memohon segala keampunan Tunku dan patik bersedia mengadap Tunku untuk memohon maaf seandainya Raja Permaisuri Agong berkenan menerima patik.

“Sesungguhnya patik tidaklah mengharap apa-apa melainkan pengampunan Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Warga maya kelmarin melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi memujuk Tunku Azizah mengaktifkan semula akaun Twitter rasminya @cheminahsayang.

Kebanyakan pengguna Twitter kecewa kerana mereka tidak dapat lagi mengikuti perkembangan semasa Tunku Azizah yang cukup dikenali sebagai permaisuri berjiwa rakyat.

Raja Permaisuri Agong terkenal dengan sifat ramah dan berjiwa rakyat, malah baginda sering menggunakan akaun Twitter miliknya untuk berinteraksi dengan rakyat.

Baginda gemar berkongsi saat gembira dan telatah baginda. Kebanyakan netizen memang gemar melihat dan membalas ciapan baginda ada yang sehingga menjadi tular.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 6:40 AM