Amir Abd Hamid


MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo sudah menerima maklumat ringkas berkenaan penutupan akaun Twitter rasmi milik Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu @cheminahsayang.

Beliau berkata, kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan petang ini selepas mendapat maklumat lengkap berhubung perkara itu.

“Saya dimaklumkan perkara ini (isu penutupan akaun Twitter milik Raja Permaisuri Agong) pagi tadi. Saya belum melihat secara terperinci mengenai perkara ini.

“Saya akan minta laporan apabila kembali ke pejabat selepas ini, kemudian akan buat keputusan. Kita lihat dulu, tengok dulu.

“Beri saya sedikit masa untuk saya semak sebelum saya membuat satu komen atau kenyataan berkenaan perkara ini,” katanya ketika ditemui media di ibu pejabat The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Kuala Lumpur.

Beliau hadir di pejabat NSTP untuk melawat dan memberi sokongan kepada wartawan Berita Harian (BH) yang menerima ugutan bunuh berikutan satu laporan pendedahan yang dibuat akhbar itu beberapa hari lalu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd (Media Prima) Datuk Kamal Khalid, Pengarang Kumpulan Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein, Pengarang Kumpulan BH Khaidir A Majid dan Pengarang Kumpulan New Straits TImes Rashid Yusof.

Berita berkaitan

Tuanku... kembalilah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 2:01 PM