MUHAMAD Khalil mengulas perlawanan Malaysia menentang UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
MUHAMAD Khalil mengulas perlawanan Malaysia menentang UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Amirul Haswendy Ashari.


“MASA mengulas, baru saya tahu ada bakat jadi pengulas sukan. Tak pernah terfikir pun nak pergi uji bakat sebagai pengulas sukan, tapi itu memang dalam 'wish list' saya,” kata Muhamad Khalil Jamian.

Video Khalil, 30, mengulas perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) UAE pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu, tular apabila sahabatnya, Hafiz Syaz memuat naik video itu di Twitter dan mendapat reaksi lebih 9,800 ulang kicau dan 7,600 tanda suka.

Khalil ketika dihubungi Harian Metro, berkata pada malam perlawanan keadaan dalam Stadium Nasional Bukit Jalil tidak sesak.

“Selalunya saya pergi stadium tengok bola saja, tapi tidak sangka keadaan dalam stadium pada malam itu, tidak penuh.

“Jadi sambil tengok perlawanan, saya buat video, saja nak kacau kawan-kawan. Mereka yang mengenali saya, tahu saya suka buat lawak dan meniru suara karakter tertentu," katanya.

Khalil yang bertugas sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur turut aktif bermain bola sepak bersama pasukan GSB (Geng Semangat Bola) untuk Liga Lembah Klang.

Menurut anak jati Tanjung Karang itu, dia meminati bola sepak sejak kanak-kanak dan sering mengikut bapanya menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium.

Malah, dia sangat teruja setiap kali mendengar ulasan bola sepak daripada legenda pengulas sukan negara, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang.

“Arwah ialah pengulas sukan legenda dan sangat hebat daripada segi bahasa, penceritaan dan mampu membangkitkan keterujaan penonton," katanya.

Dalam pada itu, Khalil memberitahu selepas video itu tular tempoh hari, ramai memintanya membuat ulasan pada perlawanan bola sepak Malaysia bertemu Thailand pula, pada 14 November depan.

“Saya ambil permintaan ini sebagai sesuatu yang positif, satu penghormatan dan akan cuba lakukan walaupun saya tidaklah sebagus pengulas sukan lain," katanya.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu, dia sentiasa terbuka untuk sebarang peluang sama ada sebagai pengalih suara, pelakon suara latar atau pengulas sukan pada masa depan.

“Banyak perkara yang saya perlu belajar dalam bidang ini. Kalau ada rezeki, saya terima dengan hati terbuka.

“Yang penting kenalah gembira dan suka dengan pekerjaan yang kita lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:07 PM