AINUL Mardhiah semakin aktif selepas pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya. FOTO ihsan FB AHMAD SAFIUDDIN.
AINUL Mardhiah semakin aktif selepas pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya. FOTO ihsan FB AHMAD SAFIUDDIN.
Nurul Fhatihah Zakinan


BAYI perempuan yang menghidap ‘Germ Cell Tumour’, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dijangka akan terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik tiba di negara ini, hari ini.

Menurut sumber, Ainul Mardhiah yang berusia 10 bulan bersama bapa, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi sudah bertolak dari United Kingdom (UK) pada 9.30 malam tadi (waktu tempatan).

“Ainul dijangka sampai esok (hari ini) dan terus ke HKL,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Berdasarkan status dimuatnaik Ahmad Safiuddin, 24, petang semalam, mereka sedang membuat persiapan rapi bagi memastikan Ainul sembuh dan kuat berikutan bayi sulungnya itu pernah mendapat jangkitan selepas mengharungi penerbangan panjang selama 13 jam.

“Disebabkan Ainul terlalu ‘fragile’, doktor minta supaya kurang mendedahkan Ainul supaya risiko mendapat jangkitan dapat dikurangkan.

“Bagaimanapun, kami sangat berbesar hati dan gembira bila dapat pulang ke tanah air. Malaysia adalah tempat Ainul!,” katanya menerusi statusnya.

Ainul Mardhiah yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di sebuah Hospital Kanak-Kanak di UK pada 10 Jun lalu, terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

Pembedahan membabitkan perbelanjaan mencecah RM1juta itu, berjaya direalisasi sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 1:04 AM