Gambar fail, taska. Arkib NSTP.
Gambar fail, taska. Arkib NSTP.
BERNAMA

SEBANYAK 883 taska di rumah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah kembali beroperasi selepas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu, 387 telah menjalani pemeriksaan JKM dan didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara SOP yang ditetapkan ialah ibu bapa atau penjaga harus memastikan si anak berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke taska, katanya.

"Setakat ini, pemeriksaan mendapati taska di rumah mematuhi pelaksanaan SOP terbabit," katanya kepada pemberita selepas melawat Taska Afiqah Amniyah di Taman Arked, Dengkil, hari ini.

Taska di rumah menempatkan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dengan jumlah maksimum sembilan orang bagi setiap premis.

Sementara itu, Rina berkata mereka yang hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 serta berminat untuk menjadi pengasuh kanak-kanak atau menjadi pengusaha taska digalakkan mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak (KAP).

Kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) meluluskan bayaran insentif KAP sebanyak RM900 bagi setiap peserta dan mereka yang berminat boleh memohon untuk mengikuti kursus KAP menerusi laman web JKM, katanya.

Kursus KAP terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang berminat untuk bekerja dalam industri pengasuhan kanak-kanak dan terbuka kepada pengasuh taska yang belum menghadiri dan lulus KAP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 11:52 AM