Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menambah baik keperluan peraturan dan proses untuk pengusaha mendaftar dan menjalankan taska secara sah di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara tiga penambahbaikan yang dilakukan adalah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di premis taska.

"Ini bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di taska dapat disiasat lebih terperinci.

"Selain itu, dengan adanya pemantauan CCTV ini boleh menjadikan semua pihak menjadi lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai apakah langkah kerajaan bagi menangani masalah penderaaan membabitkan kanak-kanak.

Nancy berkata, penambahbaikan kedua yang dilakukan adalah pengasuh di taska diwajibkan menjalani latihan dan kursus didikan serta asuhan permata (KAP).

"Ini bagi memastikan pengasuh-pengasuh mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun.

"Kursus selama 28 hari atau 148 jam ini melengkapkan mereka bukan sahaja dari segi teori, malah juga dari segi amali," katanya.

Penambahbaikan ketiga katanya, mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga untuk menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar.

Menurutnya, ini disebabkan operasi taska yang berdaftar akan dipantau oleh JKM mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya untuk keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

"Ibu bapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih cakna terhadap perkembangan anak mereka. Sebagai contoh, melakukan pemeriksaan fizikal anak-anak sebelum dan selepas mereka dihantar ke taska.

"Sekiranya ada tanda-tanda yang mencurigakan, ibu bapa haruslah jangan gusar untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan pandangan pakar seperti doktor dan pakar kaunseling," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 12:54 PM