BOT yang dibakar nelayan asing dalam usaha menghapuskan bukti selepas dikesan JKDNKA dalam Op Gelora Khas. FOTO ihsan JKDNKA PDRM
BOT yang dibakar nelayan asing dalam usaha menghapuskan bukti selepas dikesan JKDNKA dalam Op Gelora Khas. FOTO ihsan JKDNKA PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 75 nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara ditahan dalam Op Gelora Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.

Mereka ditahan dalam operasi pada 18 hingga 30 Jun lalu di kawasan di perairan pantai timur Semenanjung.

Pengarah JKDNKA Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas lapan bot nelayan asing dan sebuah bot nelayan tempatan dianggarkan bernilai RM5.7 juta.

Katanya, operasi itu turut disertai agensi di bawah JKDNKA seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Unit Gempur Marin (UNGGERIN), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dan 69 Komando selain Jabatan Perikanan Malaysia.

OP Gelora Khas JKDNKA Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perairan Pantai Timur. FOTO ihsan JKDNKA PDRM
OP Gelora Khas JKDNKA Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Perairan Pantai Timur. FOTO ihsan JKDNKA PDRM

“Op Gelora Khas itu dibuat bagi membanteras dan menahan nelayan asing terutama warga Vietnam yang menjalankan kegiatan menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan pantai timur.

“Sepanjang operasi, lapan bot nelayan asing warga Vietnam dan sebuah bot didaftarkan atas lesen nelayan tempatan berjaya dipintas dan 75 nelayan asing ditahan,” katanya dalam sidang media JKDNKA di Bukit Aman di sini, semalam.

Beliau berkata, sebuah bot nelayan Vietnam gagal dibawa balik ke pangkalan sebaik ditahan berikutan dibakar oleh kru bagi menghapuskan bukti.

Katanya, semua tahanan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta 317 Akta Perikanan Malaysia 1985.

ANTARA nelayan asing yang ditahan dalam Op Gelora Khas. FOTO ihsan JKDNKA PDRM
ANTARA nelayan asing yang ditahan dalam Op Gelora Khas. FOTO ihsan JKDNKA PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 7:00 AM