FISOL (kiri) meninjau bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan pantai timur.
FISOL (kiri) meninjau bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan pantai timur.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Sekumpulan nelayan warga Vietnam dikesan masih ingkar dan seakan-akan tidak peduli penguatkuasaan undang-undang di negara ini apabila masih menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut secara bebas.

Tindakan tekong dan awak-awak yang membawa bot memasuki perairan negara menggambarkan mereka tidak bimbang dengan rondaan pihak berkuasa terutama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM).

Bagaimanapun, aktiviti mereka dibanteras polis marin dan Jabatan Perikanan Pahang apabila enam bot bersama 85 tekong serta awak-awak ditahan dalam operasi khas bermula 25 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Khas (PGK) Datuk Fisol Salleh berkata, operasi Gelora Khas siri 2 yang dilakukan dengan kerjasama pasukan gerakan udara, komando VAT69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) itu menahan semua nelayan warga Vietnam berusia 15 hingga 60 tahun selepas menjalankan pemantauan di perairan negara.

“Kami merampas peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan dan bot mereka dalam operasi ini.

“Berdasarkan maklumat risikan dan bantuan diberikan Jabatan Perikanan Pahang, mereka ditahan dalam lingkungan 30 hingga 100 batu nautika dari perairan negara,” katanya di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di sini, semalam.

 FISOL  (tiga dari kanan) membuka tempat penyimpanan ikan dalam bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam Operasi Gelora Khas, semalam.
FISOL (tiga dari kanan) membuka tempat penyimpanan ikan dalam bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam Operasi Gelora Khas, semalam.

Fisol berkata, nilai rampasan dianggarkan RM6.5 juta dan semua nelayan warga Vietnam itu ditahan mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 16 Akta Perikanan 1985.

Katanya, operasi dengan kekuatan 182 pegawai dan anggota termasuk Jabatan Perikanan Pahang itu dijangka berakhir hari ini turut memberi penekanan kepada rondaan pencegahan serta penguatkuasaan bagi kesalahan pelanggaran Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, katanya walaupun berdepan kekangan aset melaksanakan operasi secara cekap, pihaknya tidak menjadikan perkara itu alasan untuk tidak menjalankan rondaan.

“Jika tanya pada saya sudah tentu kami mahu lebih banyak bot tambahan yang boleh beroperasi dalam intensiti tinggi supaya operasi boleh dilakukan lebih berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:20 AM