SEBAHAGIAN balat yang dirampas APMM Kudat daripada nelayan warga Vietnam. FOTO Ihsan APMM
SEBAHAGIAN balat yang dirampas APMM Kudat daripada nelayan warga Vietnam. FOTO Ihsan APMM
Fardy Bungga


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat sekali lagi berjaya mematahkan cubaan sebuah bot nelayan asing mengaut hasil balat secara haram di perairan negara ini.

Bot nelayan dari negara Vietnam itu ditahan di kedudukan 18 Batu Nautika Timur Laut, Pulau Sibongor Laut pada jam 10 pagi, kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi APMM Kudat, Leftenan Maritim Musa Dail berkata, ketika ditahan, bot berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pendaftaran bot.

Katanya, empat awak-awak dan tekong yang semuanya warganegara Vietnam berusia lingkungan 29 hingga 39 tahun turut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ini adalah kes kali kesembilan membabitkan nelayan warga asing menangkap balat di perairan Kudat tahun ini.

PERALATAN khas penggembur dasar laut untuk mengaut hasil balat. FOTO Ihsan APMM
PERALATAN khas penggembur dasar laut untuk mengaut hasil balat. FOTO Ihsan APMM

“Bot yang ditahan ini juga didapati menggunakan peralatan yang diharamkan.

“Mereka menggunakan peralatan yang boleh merosakkan hidupan laut terutamanya terumbu karang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Musa berkata, hasil penahanan ini, pihak APMM berjaya merampas 500 kilogram balat dan keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM600,000.

Musa berkata, bot nelayan bersama anak kapal yang ditahan kemudian diiring balik ke Jeti Sabah Port Kudat untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, Musa memberitahu balat adalah sejenis hidupan laut unik yang dianggap makanan mewah dan berkhasiat di sesetengah negara.

BOT nelayan warga Vietnam yang ditahan APMM Kudat. FOTO Ihsan APMM
BOT nelayan warga Vietnam yang ditahan APMM Kudat. FOTO Ihsan APMM

Katanya, Sabah yang sememangnya kaya dengan hasil balat sentiasa menjadi perhatian penggemar seluruh dunia berikutan permintaan tinggi dalam dan luar negara.

“Ini adalah salah satu faktor yang menarik nelayan asing datang mengaut hasil balat di negara secara haram.

“Sehubungan itu, orang awam terutamanya komuniti laut supaya bekerjasama dengan pihak penguatkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang di perairan negara ini,” katanya.

Musa berkata, orang awam juga diminta menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858, sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau sebarang jenayah di perairan negara.

NELAYAN warga Vietnam yang ditahan. FOTO Ihsan APMM
NELAYAN warga Vietnam yang ditahan. FOTO Ihsan APMM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 4:30 AM