Peralatan khas penggembur dasar laut untuk mengaut hasil balat. FOTO Ihsan APMM
Peralatan khas penggembur dasar laut untuk mengaut hasil balat. FOTO Ihsan APMM
Fardy Bungga


EMPAT belas nelayan warga Vietnam yang leka mengaut hasil balat (gamat) secara haram di perairan negara ini berputih mata apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat.

Semua nelayan asing yang menaiki tiga bot berasingan itu ditahan di kedudukan 10 Batu Nautika Timur Laut dari Pulau Sibongor Laut, Kudat 8.10 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, ketika ditahan ketiga-tiga bot itu didapati tidak mempunyai dokumen pendaftaran masuk ke negara ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati semua anak kapal dan tekong berusia lingkungan 17 hingga 63 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan mendapati, ketiga-tiga bot berkenaan membawa 2,200 kilogram balat yang dipercayai dikaut daripada perairan negara ini menggunakan peralatan yang diharamkan.

“Rampasan ini dianggarkan bernilai RM1.7 juta berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balat yang dirampas daripada nelayan warga Vietnam di Kudat semalam. FOTO Ihsan APMM
Balat yang dirampas daripada nelayan warga Vietnam di Kudat semalam. FOTO Ihsan APMM

Boon berkata, ini adalah kes ke lapan membabitkan tangkapan hasil balat oleh nelayan asing di perairan Kudat tahun ini.

Katanya, jumlah kuantiti balat yang dirampas juga adalah kejayaan terbesar dicatatkan APMM Sabah setakat ini.

“Ketiga-tiga bot bersama semua nelayan Vietnam terbabit dibawa ke Jeti Sabah Port Kudat sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya

Sehubungan itu, Boon menyeru orang awam terutamanya komuniti maritim supaya bekerjasama dalam membanteras kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Katanya, orang awam juga dinasihatkan menyalurkan maklumat menerusi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858, sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau sebarang jenayah di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 10:34 PM