GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pelajar sebuah sekolah menengah di Pitas dekat sini, yang kritikal akibat keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman bercampur 'spirit' meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pelajar berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) pada 4 petang.

Menurutnya, ia disebabkan kecederaan otak yang teruk (toksikiti serebral) akibat keracunan metanol.

"Semua 25 pelajar lain yang turut mengalami keracunan sudah dibenarkan pulang ke asrama selepas menerima rawatan.

"Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR)," katanya.

Sebelum ini, Pemangku Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna melaporkan seorang pelajar meninggal dunia selepas disyaki keracunan metanol pada Rabu lalu.

Pelajar terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) disebabkan pelbagai organ dalamannya gagal berfungsi.

Pada 9 Jun lalu, seramai 27 pelajar lelaki sekolah terbabit dimasukkan ke hospital akibat keracunan metanol selepas dipercayai minum minuman bikarbonat dan cecair spirit hingga menyebabkan keracunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 2:54 PM