Fairul Asmaini Mohd Pilus

Apabila tiba musim perayaan, kebanyakan daripada kita akan mengalami kenaikan berat badan terutama selepas 15 hari menyambut hari raya.

Keadaan itu boleh terjadi kerana tiada keseimbangan di antara pengambilan tenaga dengan penggunaan tenaga.

Rumah terbuka yang menyediakan pelbagai hidangan enak mendorong ramai 'lupa diri' hingga menjejaskan kesihatan antara faktor penyebabnya.

Sebagai contoh, sekiranya menikmati lemang dan rendang bersama air kosong, untuk membakar kalori makanan berkenaan, kita perlu berlari selama 70 minit bagi wanita dan 50 minit bagi lelaki.

Menjelaskan perkara itu, Pakar Pemakanan Hospital Pakar KPJ Perdana, Rose Hanizan Mat Hassan berkata, pengambilan makanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak selain dapat meningkatkan risiko kepada penyakit kronik.

Justeru, masyarakat perlu lebih bijak dalam memilih makanan dan sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat ketika meraikan hari raya.

"Kita perlu ingat bahawa banyak rumah untuk dikunjungi dan kebanyakannya pula menyediakan makanan yang lebih kurang sama.

SEKIRANYA menikmati lemang dan rendang bersama air kosong, untuk membakar kalori makanan berkenaan, kita perlu berlari selama 70 minit bagi wanita dan 50 minit bagi lelaki.
SEKIRANYA menikmati lemang dan rendang bersama air kosong, untuk membakar kalori makanan berkenaan, kita perlu berlari selama 70 minit bagi wanita dan 50 minit bagi lelaki.

"Konsep sedikit dan pelbagai masih perlu digunakan, pada masa sama harus waspada dengan kuantiti makanan yang diambil," katanya kepada Harian Metro.

Rose Hanizan berkata, orang ramai digalakkan makan dalam kuantiti yang kecil memandangkan banyak rumah yang akan dikunjungi.

Disarankan juga supaya anda memilih makanan yang lebih rendah kalori seperti buah, buah-buahan dan kurang minyak, lemak atau santan.

"Hadkan juga pengambilan snek atau pencuci mulut yang manis dan berlemak serta lebihkan pengambilan air masak berbanding minuman manis seperti bikarbonat.

"Lebihkan juga makanan yang berserat tinggi bagi mengelakkan sembelit dan mengenyangkan perut, " katanya.

Menurut Rose Hanizan lagi, kenaikan berat badan perlu dikawal sepanjang musim perayaan dan jangan terlalu mengikut nafsu makan.

Pemilihan makanan dari semua kumpulan makanan adalah kunci pemakanan secara sihat dan betul selain menjaga kuantiti yang diambil.

HADKAN pengambilan snek atau pencuci mulut yang manis dan berlemak serta lebihkan pengambilan air masak berbanding minuman manis seperti bikarbonat.
HADKAN pengambilan snek atau pencuci mulut yang manis dan berlemak serta lebihkan pengambilan air masak berbanding minuman manis seperti bikarbonat.

Kata Rose Hanizan, kumpulan makanan itu adalah dari karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan serta sedikit minyak, lemak dan gula.

Katanya, makanan yang manis, tinggi garam dan berlemak perlu dihadkan kerana semua itu mengandungi kalori tinggi tetapi nutrien yang kurang.

"Pastikan setiap kali anda makan, perlu mengetahui anggaran kalori makanan yang diambil dan sekiranya sudah cukup secara perlahan kurangkan pengambilan makanan yang seterusnya.

"Amalkan juga amalan 55555 untuk kekal sihat sepanjang musim perayaan nanti iaitu makan lima kumpulan makanan setiap hari, lima sajian buah dan sayur serta hadkan kepada 500 kalori sahaja untuk setiap waktu makan utama.

"Selain itu, hadkan kepada lima gram atau satu sudu teh gula sahaja untuk minuman manis dan amalkan bersenam lima kali seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 7:00 AM