ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal pada Op HRA 2019 di Jalan Greentown, Ipoh.
ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal pada Op HRA 2019 di Jalan Greentown, Ipoh.

KESALAHAN menggunakan lorong kecemasan antara lebih 200 notis dikeluarkan terhadap pemandu sejak Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 29 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shahruddin Khalid berkata, kesalahan lalu lintas berkenaan dikesan berdasarkan aduan yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.

“Selain itu turut dikesan ialah kesalahan pemandu bas yang memandu di lorong kanan tanpa menukar lorong dan memandu melebihi had laju.

“Harus diingatkan hanya penumpang kenderaan sahaja dibenarkan untuk merakam atau mengambil gambar sebelum ianya dilaporkan kepada pihak kami menerusi WhatsApp,” katanya pada sidang media di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, semalam.

ANGGOTA JPJ Perak membuat sekatan jalan raya memeriksa kenderaan dalam Op HRA 2019.
ANGGOTA JPJ Perak membuat sekatan jalan raya memeriksa kenderaan dalam Op HRA 2019.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penguatkuasa JPJ, Abdul Razak Alias dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Operasi, Adenan Mat Isa.

Shahruddin berkata, JPJ juga mewujudkan sekretariat aduan beroperasi selama 16 jam sehari bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam kecuali Hari Raya Aidifitri.

“Bagaimanapun harus diingatkan aduan yang dihantar perlu lengkap dengan menyertakan tarikh, masa, lokasi, gambar dan nombor pendaftaran kenderaan.

“Pada Op HRA 2018 lalu, JPJ menerima sebanyak 288 aduan tidak lengkap daripada orang ramai,”katanya.

ANGGOTA JPJ memeriksa enjin kereta dalam Op HRA 2019 di Sungai Petani.
ANGGOTA JPJ memeriksa enjin kereta dalam Op HRA 2019 di Sungai Petani.

Sementara itu, sepanjang Op HRA tahun ini yang bermula sejak 29 Mei lalu sehingga kelmarin, JPJ sudah memeriksa 34,595 kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 21,948 notis saman.

Katanya, ini menunjukkan kadar pematuhan terhadap undang-undang jalan raya semakin meningkat.

“Operasi ini akan berlangsung selama dua minggu sehingga 13 Jun depan dan membabitkan lebih 4,000 anggota penguat kuasa.

“Selain itu, JPJ juga menguat kuasakan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan berat bermula 1 hingga 3 Jun dan 8 Jun hingga 9 Jun ini,” katanya.

Sebarang aduan trafik boleh disalurkan kepada talian JPJ menerusi WhatsApp 013-4498997 atau emel ke [email protected].

ANTARA motosikal yang diperiksa dalam Op Khas Motosikal di Sungai Petani.
ANTARA motosikal yang diperiksa dalam Op Khas Motosikal di Sungai Petani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:40 AM