Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan serta-merta terhadap pemandu bas ekspres yang didapati membuat rakaman secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika memandu sewaktu Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya akan meletakkan pegawai penyamar dalam setiap bas ekspres untuk memastikan tiada yang melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata, selain itu, kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak demikian sangat dialu-alukan.

"Mereka boleh menghantar kepada pihak kami berserta tarikh dan lokasi perjalanan bagi memudahkan pihak kami melakukan tindakan.

"Sebelum ini. memang ada kes seperti ini (guna telefon bimbit dan buat siaran langsung di Tik Tok), tetapi untuk operasi HRA ini, belum ada aduan diterima setakat ini.

"Namun, jika dikesan melakukan kesalahan ini, mereka boleh diambil tindakan terus tetapi perjalanan tetap boleh diteruskan," katanya.

DATUK Lokman melakukan pemeriksaan dalam pemeriksaan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Lokman melakukan pemeriksaan dalam pemeriksaan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) malam tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata demikian pada sidang media di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Lokman berkata, sepanjang operasi HRA 2024 ini, lima pemandu kenderaan awam bas ekspres yang didapati positif methampetamine.

Katanya, ia membabitkan dua di Sarawak, satu di Kota Bahru, Kelantan dan dua lagi di Alor Setar, Kedah.

Katanya, dua yang dikesan di Alor Setar berusia 31 dan 67 tahun yang disyaki mengambil bahan terlarang itu ketika menjalani ujian saringan air kencing secara rawak di terminal ini, malam tadi.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Pantai Timur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 8:46 AM