MENDIANG pesan usah jemu belajar sejarah tanah air.
MENDIANG pesan usah jemu belajar sejarah tanah air.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“JIKA tidak mempunyai kenangan, kita pasti tiada masa depan yang cerah.” Itu antara petikan nasihat yang sering diucapkan Sejarawan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Ia dikongsikan anak sulung mendiang, Eddin Khoo, 50, yang memberitahu bapanya adalah sejarawan yang sentiasa berusaha membina negara bangsa sehingga nafas terakhirnya.

Meskipun masyarakat mengenali Dr Khoo sebagai tokoh berpengetahuan luas, keluarganya mengenang mendiang sebagai ketua keluarga yang penyayang, bertanggungjawab, rapat dengan ahli keluarga dan lucu.

Eddin berkata, bapanya bukan sahaja mesra dengan mereka sekeluarga, bahkan dengan penuntutnya dan masyarakat setempat meskipun raut wajah sentiasa serius.

“Mendiang sangat mementingkan sejarah negara untuk dipelajari generasi kini dan akan datang kerana, katanya ia penting untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk.

5 Januari 1989: Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan Profesor Dr Zainal Kling dan Profesor Dr Khoo Kay Kim pada majlis pelancaran Zamalah Berita Harian di Rumah Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
5 Januari 1989: Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim (kanan) beramah mesra dengan Profesor Dr Zainal Kling dan Profesor Dr Khoo Kay Kim pada majlis pelancaran Zamalah Berita Harian di Rumah Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

“Selalu dia berpesan agar sejarah tanah air perlu terus dipelajari dan disebabkan itu, tiada istilah jemu dalam kamus hidupnya sehingga menjadi pendidik untuk pelbagai peringkat masyarakat sejak lebih 50 tahun lalu.

“Kini ramai anak didik mendiang sudah bergelar pakar sejarah dan pendidik sejarah. Mereka akan terus memainkan peranan mendiang sebagai pembina negara bangsa,” katanya ketika ditemui di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi di sini, semalam.

Dr Khoo meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 10.13 pagi semalam.

Tokoh berusia 82 tahun itu, sebelum ini membuat pembedahan pintasan jantung pada Oktober lalu namun kesihatannya semakin merosot.

Selain Eddin, mendiang meninggalkan dua lagi anak lelaki iaitu Rubin, 47, dan Mavin 42, selain isteri Puan Sri Kathi Khoo, 75.

Jenazah akan ditempatkan di Pusat Peringatan Nirvana Sungai Besi sementara upacara penghormatan terakhir untuk ahli keluarga, sahabat dan orang ramai dilakukan bermula Khamis hingga jam 10.30 pagi Sabtu.

Upacara pengebumian dijangka berlangsung jam 11.30 pagi Sabtu di Pusat Peringatan Nirvana Shah Alam.

26 Ogos 1998: Dari kanan, pengkritik sukan yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Khoo Kay Kim; Editor Sukan Harian Metro, Badrulhisham Othman (pengerusi); Pengarah Penyediaan Atlet Sukan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Azizan Zainal Abidin; dan pakar pukulan sudut penalti skuad hoki negara, Nor Saiful Zaini pada majlis Dialog Metro Ahad.
26 Ogos 1998: Dari kanan, pengkritik sukan yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Khoo Kay Kim; Editor Sukan Harian Metro, Badrulhisham Othman (pengerusi); Pengarah Penyediaan Atlet Sukan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Azizan Zainal Abidin; dan pakar pukulan sudut penalti skuad hoki negara, Nor Saiful Zaini pada majlis Dialog Metro Ahad.

Negara hilang ‘pakar rujuk’

ARENA sukan negara kehilangan ‘pakar rujuk’ untuk sejarah sukan susulan pemergian Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim akibat jangkitan paru-paru, semalam.

Tokoh itu banyak membantu perkembangan sukan di Malaysia berikutan pengetahuan mendalamnya selain diangkat sebagai sejarawan.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong berkata, pemergian Dr Khoo satu kehilangan besar kerana keperibadiannya sebagai seorang yang ikhlas dalam memberi pandangan dan idea bernas tanpa agenda peribadi.

“Beliau sentiasa memberikan kritikan yang membina untuk pembangunan sukan negara, selain mempunyai personaliti yang terpuji dan sentiasa disenangi oleh atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara.

“Ketika menjawat Ketua Pengarah MSN, saya banyak berbincang dengan mendiang dan dia akan sentiasa memberikan pandangan terbuka berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas yang dimilikinya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, pengetahuan luas mendiang dalam bidang sukan meskipun bergelar sejarawan, meletakkan Dr Khoo pada kelasnya tersendiri.

Pernah berkongsi pentas dengan mendiang dalam program televisyen, Mohd Sadek berkata, Dr Khoo adalah ilmuwan yang sentiasa mengikuti perkembangan sukan sekali gus, membolehkannya mengutara idea bernas demi kemajuan sukan negara.

“Beliau tahu apa yang diperkatakan dan jika mahukan komen rasional atau pragmatik mengenai sukan negara, beliau adalah sumber rujukan terbaik,” katanya.

Menurutnya, Dr Khoo contoh individu mengetengahkan pembangunan holistik yang tidak mengetepikan akademik dan sukan, malah pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 6:30 AM